SABAK BERNAM: Terusan menjadi tarikan unik pada Karnival Ban Canal khususnya bagi peserta-peserta sukan air yang mengharungi cabaran selama tiga hari sejak Jumaat lalu.
Kapten Pasukan Johor Racing Team, Montoya Raw Michael berkata, Ban Canal amat sesuai untuk diadakan aktiviti sukan air kerana selain suasana hijau di sepanjang 30 kilometer, ia juga mempunyai arus yang boleh menguji kemampuan pelumba.
“Airnya berarus, namun tenang menjadikan ia amat sesuai untuk aktiviti berkayak atau perahu sama ada secara rekreasi mahupun perlumbaan.
“Kami sebenarnya tidak jangka untuk menang kerana matlamat adalah mencari pengalaman mengayuh di tempat lain. Di Ban Canal, suasananya hijau berbanding tempat latihan kami di Johor Bahru kerana kami mengayuh dalam bandar,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, pasukan Johor Racing Team diumum sebagai juara keseluruhan bagi kategori Terbuka Profesional dalam perlumbaan Perahu Naga dan membawa pulang hadiah sebuah piala.
Selain itu, dua lagi pasukan iaitu MOF (Kementerian Kewangan) Ohsem dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masing-masing memenangi kategori Agensi dan Agensi Tertutup dalam acara yang berlangsung kelmarin.
Perlumbaan akhir dilepaskan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim pada Majlis Penutup Karnival Ban Canal, semalam.
Sementara itu, Pengurus Pasukan MOF Ohsem, Zetti Akmal Abdul Muiz memberitahu, pasukannya menyertai perlumbaan Perahu Naga dan marathon, namun nasib tidak menyebelahi apabila berada pada kedudukan keempat bagi perlumbaan marathon.
“Ini penyertaan kali kedua, selain perlumbaan pecut, kami juga sertai marathon yang berlangsung sejak Jumaat. Insya-Allah ada rezeki, tahun depan akan datang lagi ke sini untuk kembali beraksi kerana Ban Canal amat unik, arusnya tenang tetapi menguji kemampuan berbanding tempat biasa kami mengayuh di Putrajaya,” kongsinya.
Bagi Pengurus Pasukan JPS, Hazam Sef, beliau tidak jangka menang bagi kategori agensi tertutup kerana baru pertama kali menyertai pertadingan tersebut pada Karnival Ban Canal.
“Kami biasa beraksi di tempat lain, tetapi ramai cakap Ban Canal kena cuba sebab tempatnya luas dan panjang, airnya tenang tetapi berarus. Tetapi, alhamdulillah rezeki menang. Cuma kayuhan di sini memang mencabar, tetapi mengujakan,” ujarnya.
Selain aktiviti sukan air, turut diadakan pada penghujung penganjuran Karnival Ban Canal adalah Kayak Fishing apabila lebih 20 pengunjung berpeluang memancing di Ban Canal dengan membawa kayak masing-masing.
Bagi pengunjung tempatan, Shahzudin Ruslan, 30, ia pengalaman pertama memancing secara berkayak di Ban Canal kerana lazim pergi ke kawasan muara sungai atau pantai untuk menangkap ikan.
“Aktiviti itu cuma sekadar hobi dan saya biasa memancing di kawasan air masin, tetapi bila kawan-kawan ajak untuk memancing di Ban Canal kerana ada pertandingan. Jadi, saya pun datang ke sini bawa kayak, tak sangka dapat tangkap banyak ikan seperti jenis selai dan baung,” katanya.
Karnival Ban Canal anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung, melabuhkan tirainya semalam, selepas berlangsung selama enam hari sejak Selasa lalu.
Pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang penganjuran termasuk jualan hasil tani tempatan, wall climbing, flying fox, larian bendang, Jualan Ehsan Rahmah dan saringan kesihatan percuma. – UTUSAN







