Nadma diarah hantar segera khemah ke Kelantan

Nadma diarah hantar segera khemah ke Kelantan

AHMAD Zahid Hamidi (kiri) semasa turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS SK Tapang, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan akan menggunakan khemah-khemah milik Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dari negeri yang tidak terjejas dengan banjir ketika ini untuk membantu rakyat Kelantan yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu dihulurkan selepas beliau menerima maklumat PPS di negeri ini me­ngalami kekurangan khemah untuk mangsa banjir.

“Saya telah arahkan Nadma untuk menghantar khemah-khemah yang ada di dalam stor agensi itu dari negeri lain yang belum dilanda banjir ke Kelantan.

“Khemah-khemah itu akan dibawa ke sini untuk diedarkan ke 550 buah PPS yang berdaftar,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini semalam. Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, kerajaan membenarkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dijadikan sebagai PPS selepas kemudahan sedia ada sudah penuh.

Katanya, ketika ini MRSM Tumpat dijadikan sebagai PPS untuk menempatkan mangsa banjir.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digunakan bagi mengambil calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pedalaman ke pusat peperiksaan.

Beliau berkata, perbincangan sudah dilakukan dengan ATM sebelum ini.

“Kita ambil beberapa pendekatan bagi anak-anak yang menghadapi peperiksaan SPM pada 2 Disember ini.

“Saya sudah koordinasi de­ngan ATM trak tentera digunakan untuk mengambil calon SPM di pedalaman ke pusat peperiksaan.

“Justeru, mohon guru dan pengetua supaya dapat koordinasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×