Kediaman lebih ekslusif, elegan dengan ‘barn door’

Kediaman lebih ekslusif, elegan dengan ‘barn door’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINI, elemen dekorasi bukan lagi terletak pada perabot dan aksesori tambahan sahaja.

Sebaliknya, pintu yang menjadi keperluan di sesebuah ruangan juga boleh menjadi daya tarikan dan memukau pandangan.

Misalnya, rekaan barn door yang berasal dari negara barat ini.

Pengasas Barn Door Specialist (Bandors), Islah Mohamad Islah Bakri berkata, barn door berasal daripada rekaan tradisional pintu gudang di kawasan luar bandar di Amerika Syarikat.

Pada awalnya, ia digunakan untuk kemudahan keluar masuk di gudang atau ladang.

Namun kini, rekaan itu telah diberi nafas baru dan digunakan di dalam rumah moden sekali gus menyuntik gaya kontemporari dengan elemen klasik.

Barn door ialah sejenis pintu gelongsor yang direka dengan ciri unik dan minimalis.

“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pintu, tetapi juga sebagai elemen dekorasi yang menyerlahkan gaya eksklusif dan elegan dalam sesebuah ruang.

Barn door amat popular kerana ia menjimatkan ruang, mudah digunakan selain memberikan sentuhan estetika kepada mana-mana bahagian rumah atau premis,” katanya kepada Seri.

Versatil
Gaya pintu klasik ini sesuai untuk pelbagai konsep rumah tidak kira sama ada gaya klasik, moden mahupun gabungan kedua-duanya yang membentuk gaya kontemporari.

Misalnya, barn door dengan kaca tempered memberikan sentuhan moden minimalis, manakala kayu dengan ukiran atau kemasan semula jadi pula lebih sesuai untuk konsep klasik atau rustik.

Ia sesuai dijadikan pintu pemisah ruangan misalnya antara dapur dan ruang tamu.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan pintu bilik tidur atau bilik air sekali gus menjadi aksesori tambahan yang minimalis.

“Kami di Bandors menggunakan pelbagai material premium untuk memastikan kualiti dan ketahanan barn door.

“Material utama yang digunakan ialah kayu seperti pain, getah, kekatong, nyatoh, meranti dan kembang semangkuk yang memberikan keunikan pada setiap rekaan.

“Untuk pelanggan dengan bajet yang rendah, kami menyediakan material medium-density fibreboard (MDF) yang lebih ringan dan kos efektif tetapi tetap berkualiti,” jelasnya.

Jenama itu turut menawarkan lebih daripada 20 jenis rekaan barn door yang boleh disesuaikan dengan pelbagai keperluan dan gaya.

Pelanggan juga boleh memilih ciri-ciri tambahan seperti corak kayu, pemegang pintu atau jenis trek gelongsor yang sesuai dengan ruang kediaman.

Harganya bermula dari RM1,900 bergantung kepada saiz, material dan reka bentuk yang dipilih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×