Uqasha Senrose menghitung detik bahagia - Utusan Malaysia

Uqasha Senrose menghitung detik bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Jadi, bila majlis?’

Itu soalan pertama saya ketika bertemu pelakon cantik ini. Mata bulatnya dibesarkan tetapi disusuli dengan gelak manja. Dia hanya berkumat kamit menyebut jawapan dengan halus suara.

‘Ala, takkan terus tanya fasal kahwin. Tanyalah soalan lain dulu, please.’

Begitulah Uqasha Senrose. Seorang yang cukup santai. Tidak mudah melatah dan apatah lagi melenting andai ada soalan yang kurang senang didengar. Dia pandai menyusun butir kata, agar tidak mengguris hati sesiapa.

Namun pantas sahaja dia menjawab. Memang mahu menyimpan rahsia, tarikh perkahwinan biarlah disimpan sendiri. Cuma dia kini menghitung hari, untuk bergelar isteri kepada pelakon, Kamal Adli.

Diaju soalan, sudahkah dia bersedia untuk memikul tanggungjawab itu, pelakon berusia 29 tahun ini merenung jauh seketika. Menarik nafas dalam dia sedar, bersedia atau tidak perkahwinan itu umpuama satu perjudian.

“Sha sendiri tinggal selangkah menuju ke tangga usia 30 tahun. Jadi bersedia atau tidak, risiko itu harus ditelan sendiri. Sha juga tahu, dalam perkahwinan ada naik turunnya, itu resmi hidup.

“Bukan sebab tua ya Sha nak kahwin, cuma Sha ffikir sampai bila. Sudah tiba masa untuk Sha beralih ke dunia berbeza. Ikatan cinta kami harus dimeterai dengan lafaz ijab dan kabul,” katanya.

Bibit cinta mereka bermula dua tahun lalu. Kematangan Kamal berjaya mencuri hati Uqasha. Biarpun di mata umum, Kamal seorang yang gila-gila namun di sisi pelakon cantik itu, dia calon suami terbaik.

Tidak pernah terfikir walau sekali, Kamal adalah bakal menjadi lelaki kiriman Tuhan untuk mencari arah syurga bersama. Berkali-kali bersua bicara sebelum ini, Uqasha hanya mengenali Kamal sebagai pelakon. Itu sahaja.

“Tak pernah terlintas pun Kamal akan ada dalam hidup Sha. Dia selalu ada depan mata tetapi Sha tak pernah nampak. Kita semua sedia maklum kan, episod cinta kami sebelum ini.

“Tetapi apabila dia melamar, Sha fikir inilah masanya. Seronok bila fikir ada orang akan jaga dan sayang kita untuk selama-lamanya. Doakan urusan pernikahan kami berjalan lancar ya,” katanya yang bakal diijabkabul selepas Aidilfitri nanti.

Berbicara soal kehidupan selepas berkahwin kelak, Uqasha tetap seperti biasa. Tiada istilah berhenti berlakon sementelah kedua-dua mereka bernafas udara seni yang sama. Maka, mereka saling memahami.
“Kalau cakap soal itu, kelak kami tahu limitasi masing-masing. Cuma Sha kenal Kamal sebagai pelakon, begitu juga dia. Tiada istilah berhenti atau syarat-syarat,” katanya yang memaklumkan persiapan perkahwinan sudah 80 peratus siap.

Kematangan seni

Menarik kembali bicara ke dunia seni, kematangan lakonan Uqasha mendapat pujian ramai. Hari demi hari, peminat mula nampak bakat sebenarnya. Tiada lagi istilah, ‘ala dia jual muka cantik sahaja itu!.

Berjiwa seni, Uqasha belajar memperbaiki diri. Dia tidak lelah dan rebah dek tujahan warganet. Selagi mampu berdiri, dia mahu berjaya atas bakat sendiri. Sebab itu dia belajar dan terus belajar.

“Alhamdulillah kalau ada yang cakap begitu. Apa pun yang dilakukan, kita tidak akan terus pandai. Kita akan cari jalan dan belajar. Sha belajar daripada melihat pelakon hebat kita mewarna watak.

“Bukan tidak mahu masuk kelas, belajar semua. Sha mahu melihat bagaimana mereka menjiwai watak dan aplikasikan itu dengan cara sendiri. Kalau masuk kelas, Sha akan mudah terikut-ikut lakonan pengajar itu,” ujarnya.

Tidak mahu sekadar berdiri dalam zon selesa semata, dia mahu mencuba lebih banyak watak mencabar. Baginya, perjalanan sebagai pelakon setakat ini belum cukup memuaskan hati. Banyak lagi kepuasan yang mahu dikejar.

Bukanlah niat di hati mahu membalas dendam dengan cercaan dahulu, cuma dia sedayanya memberi keadilan untuk diri sendiri. Dia berjaya untuk kepuasan diri. Bukan untuk ditunjuk dan dibuktikan.

“Dalam dunia seni lakonan, kita ada dua kategori. Pelakon yang ada jiwa seni dan mereka yang lebih komersial. Sha cuba menggabungkan kedua-duanya. Bukan perkara mudah tetapi tak cuba tak tahu kan?” katanya.

Pentas Ombak Rindu di Istana Budaya diakui melontar dirinya ke zon berbeza. Dia menimba segunung ilmu ketika membawakan watak Izzah. Satu watak namun ada dua jiwa harus diberi. Itu satu pengalaman cukup berharga.

“Bayangkan Sha perlu bawa satu watak dengan dua karakter 10 hari berturut-turut. Pentas teater betul-betul membuka mata saya dan mengajar diri untuk menjadi pelakon sejati,” cerita anak kelahiran Kelantan ini.

Pernah ditipu, rugi ratusan ribu

Membuka gelanggang bicara soal perniagaan, ada sesuatu persoalan yang bermain di fikiran saya. Jika diamati, pelakon ini banyak melancarkan produk namun tiba-tiba sahaja diam menyepi entah kemana hilangnya.

Jadi alang-alang riuh berborak, sempat juga saya menyelit soalan itu. Mana pergi produk-produk yang pernah Uqasha jual? Adakah dia sekadar mahu mencuba nasib atau memang niat bergelar usahawan.

Perlahan matanya memandang tepat ke lantai. Seperti ada yang sukar untuk dia luahkan. Namun, redup mata seolah bercerita. Dia mendedahkan ditipu rakan kongsi, bukan puluhan tetapi ratusan ribu ringgit.

“Mungkin Sha tak begitu arif dalam dunia perniagaan sebab itu ada sahaja yang ambil kesempatan. Sedih dan kesal tetapi Sha belajar. Sebab itu Sha sangat berhati-hati soal berniaga.

“Sekarang Sha akan pastikan setiap kontrak atau perbincangan perlu melalui peguam yang dilantik, Nurul Hafizah. Sha bukan reti sangat bab ini, jadi lebih baik Sha serahkan kepada yang pakar,” katanya.

Melancarkan produk kecantikan, krim asas US: Glow Skin berkolaborasi dengan jurumekap tersohor, Datuk Alha Alfa, Uqasha tekad memperlajari selok belok perniagaan daripada abang angkatnya itu.

“Memang kami sudah lama nak berkolaborasi tetapi belum rezekinya. Bila abang Alha menawarkan peluang berkolaborasi, saya fikir ini masa terbaik untuk belajar berniaga. Sha trauma ditipu.

“Lagipun semua tahu bagaimana abang Alha membina empayarnya. Dia bukan berjaya dalam satu hari. Banyak kepahitan yang harus ditelan. Lagipun kami seperti adik-beradik, seronok bekerja dengan dia,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×