Membangun dan memanfaatkan tanah wakaf

Membangun dan memanfaatkan tanah wakaf

PENGUMUMAN sebanyak RM200 juta kepada UDA Holdings Berhad untuk pembangunan rumah mampu milik di tanah-tanah wakaf dapat memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IKHTIAR ke-30 Belanjawan 2025 memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan tanah wakaf. Perhatian khusus kepada pembangunan tanah wakaf menunjukkan kesediaan kerajaan dalam melakukan intervensi yang serius di peringkat Persekutuan bagi memanfaatkan tanah-tanah wakaf.

Ini memandangkan isu dan penggunaan harta wakaf masih lagi satu permasalahan yang belum selesai dan sentiasa berkembang.

Wakaf merupakan salah satu instrumen sedekah berdasarkan prinsip dan syarat-syarat tertentu. Pemberi wakaf sememangnya mengharapkan harta yang diwakafkan dapat dimanfaatkan, seterusnya dikembangkan demi kebaikan dan manfaat masyarakat secara umum.

Itulah niat dan tujuan sebenar instrumen ini. Dalam konteks semasa, wakaf harta terutamanya tanah adalah penting dan merupakan keperluan masyarakat lebih-lebih lagi sekiranya tanah tersebut mempunyai lokasi yang strategik, biasanya di bandar atau pinggir bandar. Lantaran itu, pengurusan dan pembangunan harta wakaf yang efektif perlu demi maslahah ummah.

Isu hukum berkaitan pembangunan harta wakaf ini pernah diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam. Misalnya muzakarah kali ke-80 memutuskan hukum membangunkan tanah wakaf khas dengan pembangunan selain daripada niat asal pewakaf adalah harus. Begitu juga muzakarah kali ke-77 juga memutuskan hukum pembangunan tanah wakaf di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)
Namun, secara realitinya pembangunan dan pengurusan tanah-tanah pusaka ini tidaklah semudah yang disangka. Pihak yang mewakafkan harta atau tanah hanyalah permulaan kepada proses pembangunan. Ia masih memerlukan usaha, perhatian dan yang paling penting adalah pendanaan atau pembiayaan bagi memelihara serta membangunkan tanah-tanah wakaf.

Salah satu usaha dalam memajukan tanah wakaf adalah dengan pembangunan projek perumahan. Ini dilakukan di beberapa negeri. Ia adalah satu kaedah untuk memajukan tanah wakaf selari dengan keperluan semasa iaitu kesukaran untuk memiliki rumah.

Menjadi kegusaran apabila iltizam kerajaan dizahirkan tetapi pelaksanaan baik di peringkat agensi dan korporat tidak upaya dijayakan.

Oleh yang demikian, menerusi ikhtiar ini, pengumuman RM300 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) disalurkan untuk meningkatkan pembangunan tanah wakaf bagi membina rumah persaraan mandiri pesara warga emas yang berpendapatan rendah. Sementara pengumuman sebanyak RM200 juta kepada UDA Holdings Berhad untuk pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah-tanah wakaf adalah suatu perkara yang memenuhi keperluan semasa.

Isu perumahan mampu milik dan kegagalan penjawat awam memiliki rumah adalah suatu isu yang berat untuk dihadapi. Seramai 668,663 daripada 1.3 juta penjawat awam atau 52.95 peratus penjawat awam dilaporkan tidak memiliki rumah.

Majoriti daripada statistik ini adalah mereka yang berada dalam kumpulan pelaksana iaitu 431,277 orang. Oleh yang demikian, kemajuan mahupun pembangunan tanah-tanah wakaf berkemungkinan besar akan memberikan kesan dan peluang kepada golongan ini membeli serta memiliki rumah.

Selaras dengan itu, pengumuman kerajaan berkaitan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan menyediakan dana bagi penjawat awam membeli rumah di atas tanah wakaf adalah perlu untuk menangani masalah pembiayaan yang dialami oleh pembeli.

Begitu juga pengumuman mengenai jaminan kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk program di bawah institusi kewangan yang menawarkan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, dibangunkan di atas tanah wakaf adalah satu yang baik dan signifikan.

PATUH UNDANG-UNDANG
Dalam aspek undang-undang, terdapat pelbagai perundangan yang perlu dirujuk dalam isu wakaf tanah ini. Misalnya perundangan di peringkat Persekutuan seperti Kanun Tanah Negara 1965 menjadi sandaran selain daripada perundangan di peringkat negeri. Ini memandangkan hal berkaitan pentadbiran agama Islam adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Dalam hal wakaf, tidak semua negeri mempunyai perundangan khusus. Antara negeri yang mempunyai undang-undang berkenaan wakaf yang khusus adalah Selangor. Kerajaan Selangor mempunyai Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015 (Enakmen 15) menjelaskan secara terperinci berkenaan wakaf dalam Selangor.

Misalnya di seksyen 4 Enakmen 15, menyatakan Majlis Agama Islam Selangor (Majlis Agama) adalah pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dalam Selangor.

Seterusnya di seksyen 45 pula menyatakan menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang mentadbir atau mengurus harta wakaf baik khas ataupun am tanpa kebenaran Majlis Agama atau perbadanan wakaf.

Sekiranya sabit kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tuntasnya, kerangka perundangan sedia ada telah wujud bagi melindungi harta wakaf.

Namun, usaha ini menuntut iltizam dan koordinasi yang efektif antara pihak berkuasa, agensi serta korporat untuk memastikan pembangunan tanah-tanah wakaf dapat dioptimumkan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh ummah selaras dengan hasrat murni pewakaf.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×