SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggiatkan operasi pemantauan terhadap pergerakan lori dan kenderaan berat di kawasan kuari di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah tersebut diambil selepas pihaknya kerap menerima aduan terutama penduduk berhubung lori-lori sebut yang didakwa melanggar tempoh masa pergerakan yang ditetapkan selain membawa muatan berlebihan.
“Saya mahu maklumkan, JPJ akan buat tinjauan, risikan di kawasan-kawasan kuari di seluruh negara untuk melihat adakah peraturan ditetapkan seperti di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dipatuhi oleh pengusaha kuari dan kenderaan terlibat.
“Kami akan gerakkan anggota untuk buat tinjauan namun pastinya kami tidak akan beritahu bilakah masa dan waktunya. Ia bukan gerakan operasi tetapi lebih kepada pemantauan untuk pastikan adakah benar dakwaan pengusaha lori kuari ini tidak mematuhi pergerakan, sebelum tindakan diambil,” katanya selepas operasi pemeriksaan oleh JPJ terhadap operasi lori-lori kuari di Labu di sini semalam.
Pemeriksaan tersebut turut disertai pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah meminta JPJ untuk meletakkan anggota dan pegawai penguat kuasa di kawasan-kawasan kuari supaya tindakan tegas diambil terhadap lori yang membawa muatan melebihi daripada yang dihadkan.
Sementara itu, Aedy Fadly berkata, hasil dua hari pemeriksaan terhadap lori-lori di kawasan-kawasan kuari di sekitar Nilai, sebanyak 230 notis kesalahan dikeluarkan oleh JPJ.
“Ia termasuklah atas kesalahan tidak mematuhi waktu operasi. Jika kita lihat di kawasan ini jalannya kecil, selain di kawasan sekolah jadi memang berbahaya. Lori-lori ini dibenarkan berada di jalan raya bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang sahaja, kita tidak mahu sebelum pukul 8 dan selepas pukul 5 mereka berada dan masih di jalan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi pemeriksaan terhadap kenderaan berat sering dilaksanakan JPJ di seluruh negara menerusi Operasi Khas Kenderaan Perdagangan.
“Ini adalah aktiviti berterusan JPJ, kami bukan sahaja tumpu kepada kawasan kuari, kami buat operasi di seluruh negara berkaitan kenderaan perdagangan dan kenderaan lain, itu tidak berhenti.
“Pada September sehingga Oktober lalu, 185,340 kenderaan perdagangan barangan telah diperiksa diikuti pemeriksaan terhadap kenderaan perdagangan perkhidmatan awam sebanyak 24,208 buah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 67,176 notis kesalahan telah dikeluarkan manakala sebanyak 129 kenderaan telah pun di sita,” katanya. – UTUSAN











