Isteri tidur awal punca suami menggatal

Isteri tidur awal punca suami menggatal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isteri sering tidur awal setiap malam antara punca menyebabkan suami berlaku curang.

Kaunselor Perkahwinan, Mohd. Redzuan Zamberi berkata, alasan itu antara yang kerap diterima ketika menjalankan sesi kaunseling pasangan ketika ini.

Tabiat isteri tidur awal setiap malam membuka ruang kepada suami untuk berfoya-foya dan bersembang dengan wanita lain di alam maya tanpa pengetahuan si isteri.

“Boleh dikatakan 70 peratus kes rumah tangga yang saya kendalikan ketika ini melibatkan kecurangan di media sosial. Mereka berkenalan melalui kumpulan sembang dan kemudian menjadi akrab lalu bermulalah skandal.

“Saya tanyakan pada si suami bagaimana boleh bersembang dengan perempuan lain secara dalam talian tanpa pengetahuan isteri? Jawab mereka, kerana isteri tidur awal. Semasa isteri tidur mereka bebas buat begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MOHD. REDZUAN ZAMBERI

PILLOW TALK SEBELUM TIDUR

Justeru, kata Redzuan, isteri perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dengan tidak membiarkan suami mempunyai terlalu banyak masa senggang, terutamanya pada waktu malam.

“Kalau boleh, jangan tidur sebelum suami tidur kerana lelaki apabila ada banyak masa terluang mereka akan panjang akal.

“Saya faham kadang-kadang isteri letih kerana menguruskan rumah dan anak-anak setiap hari sebab itu mereka tidur awal. Kalau begitu, usaha juga untuk ‘letihkan’ suami dengan suruh mereka sama-sama uruskan rumah dan anak-anak.

“Usahakan juga untuk ada pillow talk setiap malam dengan suami sebelum tidur. Bercerita tentang apa yang berlaku pada hari itu dan sebagainya supaya ada komunikasi setiap hari,” jelasnya.

Tambahnya, banyak kes penceraian yang terjadi juga disebabkan oleh kurang komunikasi antara pasangan sekali gus menimbulkan rasa tawar hati dan tiada lagi keseronokkan dalam rumah tangga.

Terlalu ‘manjakan’ suami

Kecurangan juga boleh berlaku kerana isteri terlalu memanjakan suami sehingga mengabaikan soal nafkah yang sepatutnya menjadi kewajipan. Misalnya, bekerja keras untuk menyediakan makan minum keluarga, bayarkan sewa rumah dan buat kerja-kerja rumah sendirian.

“Tanpa isteri sedar mereka telah mengambil alih tanggungjawab yang sebenarnya adalah kewajipan seorang suami iaitu menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri.

“Tidak salah membantu suami, tetapi jangan sampai berlebihan.

“Perkara ini seperti memanjakan suami sehingga mereka lupa tanggungjawab sebenar mereka menyediakan nafkah kepada keluarga, malah beri ruang kepada mereka untuk bersuka ria dengan perempuan lain,” katanya.

Apabila soal kewajipan nafkah ditolak tepi, maka si suami akan mengambil ringan soal tanggungjawab.

Sedangkan, tanggungjawab suami dalam perkahwinan amat berat dalam menyediakan keperluan kepada anak dan isteri selain memberi pendidikan yang terbaik.

“Kadangkala, bila isteri terlebih membantu menyebabkan suami berani berlaku curang kerana mereka rasa mereka mampu daripada segi kewangan untuk berkahwin lagi sedangkan nafkah isteri pun tidak bagi.

“Apabila melalui perbicaraan untuk berpoligami di mahkamah, barulah kita tahu yang suami itu mampu sebab kebanyakan bil dan utiliti di rumah dibiayai oleh si isteri selama berkahwin,” kongsinya.

BANYAK ‘LUBANG’ KECURANGAN

Tambah Redzuan, selain media sosial, kecurangan juga kerap kali berlaku disebabkan oleh permainan video secara dalam talian di mana setiap pemain boleh berborak dan berinteraksi sesama sendiri di dalam permainan tersebut.

Justeru, apabila kerap berinteraksi walaupun secara tidak langsung dalam permainan itu boleh membenihkan bibit-bibit kemesraan yang akhirnya menjerumuskan ke dalam kancah kecurangan.

Kebanyakan kes tersebut berlaku dalam kalangan pasangan yang berusia 25 hingga 45 tahun.

Oleh itu, kata Redzuan, isteri jangan terlalu membiarkan suami hanyut dengan sosial media atau permainan video secara dalam talian kerana kecanggihan teknologi ketika boleh membuka ruang dan lubang-lubang kecurangan tanpa sedar.

“Isteri kena pantau aktiviti suami bersama telefon bimbit sebab kadangkala kita boleh mencium bau-bau kecurangan melalui tingkah laku mereka.

“Misalnya, lihat jika suami selalu memegang telefon bimbit sehingga membawanya ke dalam tandas, ia mungkin petanda suami ada menyembunyikan sesuatu.

“Begitu juga jika suami terlalu ‘melekat’ dengan telefon sehingga rasa gelisah bila tidak melihat telefon walaupun sekejap. Jika bekerja atau sekadar berborak dengan kawan pasti akan rasa letih juga menghadap telefon 24 jam,” katanya.

Boleh tuntut nafkah dalam perkahwinan

Isteri yang rasa teraniaya suami tidak memberikan nafkah tetapi mahu menambah ‘cawangan’ atau berpoligami boleh menuntut suami membayar nafkah walaupun masih dalam perkahwinan.

Pengamal Undang-Undang Syariah, Amirul Akmal Ismail berkata, isteri boleh menuntut di mahkamah untuk suami membayar nafkah selagi mana tidak pernah ada perjanjian bertulis bahawa isteri menggugurkan nafkah terhadap suami.

“Misalnya, ketika awal berkahwin dulu sudah tahu suami kurang berkemampuan jadi si isteri kata suami tidak perlu beri nafkah, maka tidak wajib beri nafkah dan isteri juga tidak boleh tuntut di mahkamah kemudian hari.

“Tetapi jika tiada perjanjian tersebut, maka isteri boleh buat satu tuntutan di mahkamah di bawah seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang meminta suami membayar nafkah sama ada ketika masih dalam perkahwinan atau sudah bercerai,” jelasnya.

Tambahnya, ada juga kes mahkamah di mana isteri meminta suami membayar nafkah kerana ingin memberikan pengajaran kerana culas sepanjang perkahwinan.

AMIRUL AKMAL ISMAIL

Melalui tuntutan itu, mahkamah boleh memerintahkan si suami untuk membayar nafkah kepada isteri dengan kadar yang ditetapkan.

Kadar pentaksiran nafkah adalah tertakluk kepada kemampuan suami dan keperluan isteri.

“Pentaksiran mengenai jumlah nafkah ini biasanya peguam lihat berdasarkan perbahasan hukum syarak, misalnya dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji yang memperincikan kadar nafkah berdasarkan taraf hidup pasangan itu.

“Suami daripada golongan kaya perlu menyediakan dua cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.

“Golongan sederhana satu setengah cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.

“Golongan fakir pula cukup satu cupak makanan asasi, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak,” jelasnya.

Nafkah isteri adalah keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan pembantu rumah bagi suami yang mampu.

Selain daripada perkara di atas tidak boleh dituntut sebagai nafkah, waima duit belanja isteri.

Namun, jika diberi dikira sebagai hadiah.

Permohonan tuntutan nafkah boleh dikemukakan di mahkamah syariah yang terdekat.

“Sekiranya suami melanggar perintah mahkamah untuk membayar nafkah maka boleh dibawa ke seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, isteri boleh mohon nafkah tertunggak sebagai satu hutang.

“Hutang ini tidak boleh dihalalkan sampai bila-bila pun, sekiranya si penghutang meninggal maka hutang ini akan termasuk dalam tuntutan harta pusaka,” jelasnya.

Malah, jika si suami masih hidup dan tidak melangsaikan tunggakan nafkah maka isteri boleh meneruskan dengan perintah pengkomitan dan suami boleh dikenakan hukuman penjara.

Kata Amirul, soal nafkah semakin diambil ringan oleh golongan suami ketika ini.

Sehingga banyak perkahwinan yang terlerai di tengah jalan disebabkan oleh isu tersebut.

“Seperti satu kes yang saya sedang uruskan ketika ini, si isteri mohon cerai kerana suami culas nafkah dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Isteri ada kerjaya besar, suami ambil kesempatan jadi biawak hidup di rumah. Sudahlah tidak bekerja, rumah tangga dan anak pun isteri yang uruskan.

“Bila bercerai, tuduh isteri macam-macam sedangkan selama berkahwin tidak jalankan kewajipan,” kongsinya.

Justeru, suami dan isteri perlu memainkan peranan masing-masing mengikut landasan agama agar rumah tangga yang dibina kekal sejahtera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×