Nota muzik Ahmad Nawab dibukukan

Nota muzik Ahmad Nawab dibukukan

Sebahagian daripada rakan artis pada majlis pengebumian Ahmad Nawab di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Jenazah maestro muzik legenda Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pukul 11.15 pagi semalam.

Pengebumian Ahmad Nawab atau Ahmad Khan Nawab Khan, 92, berjalan lancar diiringi kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan selebriti dan peminat.

Turut dilihat hadir memberikan memberikan penghormatan terakhir ialah Datuk Yusuf Haslam, Datuk Jamal Abdillah Hetty Koes Endang, Datuk Chuari Selamat, Ramlah Ram dan Adlin Aman Ramli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, jenazah dimandi dan disolatkan di Surau Al-Tarbiyyah Al-Islamiah, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Allahyarham Ahmad Nawab meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada pukul 3.15 petang kelmarin.

Sepanjang hayatnya, beliau telah menggubah 2,000 lagu sejak memulakan kerjaya muzik pada usia 16 tahun.

Beliau dianugerahkan gela­ran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Ke­senian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.

Sementara itu, bagi memastikan karya terus hidup, anak Allahyarham, Nassier Khan, 62, bercadang menerbitkan buku yang mengandungi nota muzik lagu ciptaan bapanya.

Jelas Nassier, hasrat itu ­telah pun disampaikan dan kini dalam proses penerbitan hasil kerjasama Kementerian Komunikasi di bawah agensi My Creative Venture.

“Saya sedang merancang menerbitkan buku nota muzik. Beliau ada 2,000 lagu sepanjang hayat­nya. Kita akan lakukan dan ia sedang dalam proses,” katanya.

Nasier ditemui Utusan Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, di sini, semalam.

Tambahnya, pihak keluarga maklum berkenaan hajat persatuan seni di Pulau Pinang yang mahu membina sebuah muzium atau galeri khas sempena memperingati jasa maestro muzik itu.

Pihak keluarga turut memberi jaminan untuk memberikan dokumen, barang dan gambar yang diperlukan untuk galeri berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini