Sebut sahaja monsun, sudah pasti kita terbayang suasana hujan yang berterusan dengan angin yang kuat dari laut pada hujung tahun. Ini terutama bagi kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang berkemungkinan membawa bencana banjir besar saban tahun.
Monsun sering digambarkan membawa kesulitan terutama kepada penduduk pesisir pantai yang bergantung kepada aktiviti perikanan sebagai sumber mata pencarian utama mereka.
Secara umum di Semenanjung Malaysia, kita ada dua sistem angin monsun sepanjang tahun.
Pertama, Monsun Timur Laut (MTL) membawa angin dari hemisfera utara yang lebih sejuk dengan kekerapan hujan lebih tinggi sekitar Oktober hingga Februari.
Kedua, Monsun Barat Daya (MBD) dari arah yang berlawanan membawa angin yang lebih kering dan ditandai dengan musim panas bahkan boleh membawa kepada fenomena kemarau.
Di perairan negara, Laut China Selatan juga dipengaruhi oleh kedua-dua sistem monsun tersebut melalui tiupan angin yang mempengaruhi arah serta kekuatan pergerakan arus di permukaan lautan.
Proses fizikal di lautan ini hakikatnya sentiasa dicerap melalui imej satelit dan juga boya di lautan bagi membantu pergerakan kapal-kapal dagang dan perikanan bagi menjangka risiko dan laluan yang terbaik melalui penggunaan sistem model lautan.
Melalui perkembangan sains lautan dan pembinaan model yang mampu membantu kita meramal keadaan laut, perkembangan teknologi seumpama ini turut mampu dimanfaatkan oleh ahli biologi yang mengkaji sumber lautan.
Contohnya, ramalan kawasan yang mempunyai produktivi perikanan yang tinggi seperti pemetaan taburan plankton yang menjadi makanan utama kepada ikan.
Ini juga contoh di mana pemahaman sains mampu membantu negara dalam meningkatkan hasil dari lautan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup masyarakat pesisir pantai.
Bagi usaha konservasi haiwan terancam negara seperti penyu pula, kitaran hidupnya masih belum diketahui dengan tepat. Contohnya, bila mana anak-anak penyu yang berenang ke laut sebaik sahaja meninggalkan sarangnya di pantai masih dikelaskan sebagai ‘tahun-tahun yang hilang’.

Teori klasik ini diperkenalkan ekoran anak penyu ini hampir mustahil untuk dikesan pergerakan mereka dalam lautan yang amat luas.
Dalam fasa awal kehidupan penyu, mereka akan berusaha berenang jauh meninggalkan pantai asal mereka. Mereka akan hanya mampu dilihat kembali ke pantai asalnya selepas usia matang iaitu antara 15 hingga 20 tahun.
Situasi ini membawa cabaran kepada usaha konservasi penyu. Sebabnya, ratusan ribu anak penyu yang dilepaskan ke perairan negara saban tahun masih belum mampu memberikan keyakinan menghasilkan peningkatan populasi penyu di masa hadapan.
Kita hanya mampu berusaha melepaskan sebanyak mungkin anak penyu tanpa mengetahui nasib mereka sehingga tempoh matang.
Dalam masa yang sama usaha kita melipat gandakan jumlah telur yang dieram turut diancam aktiviti pengkomersialan telur penyu di pasaran terbuka.
Justeru, satu langkah proaktif diambil oleh para penyelidik untuk mengintegrasi sains kelautan dan sains fisiologi penyu. Ia bagi meramal kawasan serakan renangan awal mereka.
Bermula 2016, Sea Turtle Research Unit (SEATRU) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya membina sistem pengukuran tenaga anak penyu ketika proses penggalian keluar daripada sarang. Sistem ini merintis kepada usaha kita dalam membuat ramalan kepada arah tuju dan capaian renangan anak-anak penyu yang dilepaskan ke laut.
Hipotesis yang terkait dengan fasa awalan anak penyu ketika mereka baharu menetas ialah tahap penggunaan tenaga di dalam sarang akan menentukan had keupayaan renangan anak penyu.
Sifat semula jadi anak penyu adalah akan berenang tanpa henti sebaik sahaja masuk ke dalam air.
Tingkah laku ini bagi menjauhkan diri mereka daripada kawasan lautan yang cetek yang mempunyai kebarangkalian yang amat tinggi disambar pemangsa.
Dalam kajian yang melibatkan pemahaman serakan anak penyu di perairan negara, tumpuan penyelidikan kini ialah berkaitan memahami taburan anak penyu dan pembentukan populasi penyu yang berbeza di Laut China Selatan. Kajian bermula dengan penilaian guna tenaga anak penyu bagi menentukan potensi renangan mereka sebaik sahaja masuk ke laut.

Penentuan potensi renangan anak penyu ini seterusnya membantu kita mendapatkan taburan serakan anak penyu di lautan dengan menggunakan model arus lautan. Dapatan terkini kajian menunjukkan anak penyu yang menetas pada musim monsun yang berbeza akan membentuk subpopulasi yang berbeza di Laut China Selatan kita. Ada anak yang akan lahir pergi ke Teluk Siam dan anak yang lahir terkemudian akan menuju Kepulauan Natuna.
Melalui teknik pemodelan lautan juga, kita dapati seekor anak penyu mampu berenang selama tujuh hari tanpa perlu mengambil sumber tenaga lain dan boleh pergi sejauh 116 kilometer (km).
Maka, melalui kajian ini kita memahami peranan angin monsun ini sebenarnya mampu menjamin kemandirian spesies ini. Walaupun anak penyu bukan dari ibu yang sama, serakan mereka di lautan ditentukan oleh arus yang berbeza mengikut musim monsun Barat Daya atau Timur Laut.
Sebab itu seekor ibu penyu mampu bersarang antara lapan hingga 12 kali setahun. Penghasilan induk yang yang banyak dan bertebaran ke wilayah lautan yang berbeza ini mampu menjamin kelestarian populasi jika berlaku tekanan alam sekitar di sesuatu kawasan.
Contohnya, jika berlaku pencemaran yang amat teruk di kawasan di sebelah selatan Semenanjung, kita masih ada populasi penyu dari takungan genetik yang sama di sebelah utara pula.
Percampuran penyu dari pelbagai lokaliti yang membentuk kepelbagaian genetik yang besar inilah menjamin kemandirian sesuatu spesis dalam teori pemilihan semula jadi. Namun jika penghasilan induk penyu ini terganggu dek kerakusan manusia mengkomersialkan telurnya, sudah pasti kita membawa penyu kepada kepupusan.
Memang sempurna percaturan Tuhan. Semoga penyelidikan ini mampu membawa rasa takjub semua kepada ciptaan Allah SWT.
- Penulis ialah Ketua Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu.









