ASC iktiraf pengamal penjagaan kesihatan global

ASC iktiraf pengamal penjagaan kesihatan global

SULTAN NAZRIN Shah beramah mesra dengan pengamal penjagaan kesihatan global selepas berkenan merasmikan Kongres Saintifik Tahunan 2024 di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Kuala Selangor, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kongres Saintifik Tahunan (ASC) 2024 mengiktiraf komitmen pengamal penjagaan kesihatan di seluruh dunia bagi inovasi dan pencarian ilmu berterusan dalam menambah baik bidang berkenaan.

Kongres yang berlangsung di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam di sini, telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan beberapa anugerah khas kepada tokoh yang berjasa kepada sektor perubatan, pendidikan dan pembangunan kesihatan.

Ketibaan baginda disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib dan Presiden Kolej Perubatan Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Paras Doshi.

Anugerah Pencapaian Se­panjang Hayat dianugerahkan kepada tiga penerima iaitu Datuk Dr. Aris Chandran Abdullah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raymond Azman Ali dan Datuk Seri Azhari Rosman.

Tan Sri Ridzwan Abu Bakar pula dipilih sebagai penerima Anugerah Orator Datuk Dr. Lim Kee Jin manakala sembilan presiden College of Physicians antarabangsa dianugerahkan Honorary Fellowship.

Dr. Paras berkata, pe­nganjuran ASC membuktikan komitmen pengamal penjagaan kesihatan di seluruh dunia bagi inovasi dan pencarian ilmu berterusan dalam menambah baik bidang itu.

“Ia usaha gigih para doktor, pakar dan penyelidik kami dalam meningkatkan penjagaan pesakit serta landskap kesihatan di Malaysia dan rantau ini.

“Selain itu, ia membuktikan bahawa pembentangan me­ngenai isu pesakit kini semakin kompleks dan tidak dibezakan,” katanya berucap pada program itu.

Sementara itu, Shahrin ber­kata, HASA berfungsi sebagai hospital pengajaran dan penyelidikan utama UiTM yang mewakili komitmen kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan perubatan dan inovasi penyelidikan.

“Acara ASC membuka peluang untuk bertukar idea dan memberi inspiras malah, menyemarakkan hasrat kami memacu kemajuan dan me­netapkan standard lebih tinggi.

“Saya berharap semua peserta mendapat inspirasi dan perspektif baharu daripada penceramah yang berkongsi kepakaran mereka dalam bidang perubatan,” katanya.

ASC dianjurkan dengan kerjasama Kolej Perubatan Malaysia dan Jabatan Perubatan HASA UiTM, mengumpulkan 300 peserta tempatan dan antarabangsa sepanjang tiga hari program berakhir semalam.

Persekutuan Perubatan Da­laman ASEAN (AFIM) dan mesyuarat Presiden Kolej Perubatan di seluruh dunia turut diadakan sempena persida­ngan itu.

Selain perbincangan dan pertukaran idea mengenai bidang itu, ia menampilkan Piala Pakar Perubatan Khoo Kah Lin disertai lapan pasukan yang bersaing merebut tempat teratas bagi kuiz berasaskan perubatan dalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×