KARACHI: Perkhidmatan internet digantung dan semua lebuh raya serta jalan utama menuju ibu kota Pakistan disekat menjelang protes pembangkang yang menuntut pembebasan bekas Perdana Menteri, Imran Khan hari ini.
Polis meletakkan kontena di pintu keluar masuk Islamabad, Lahore, Rawalpindi dan bandar lain, terutama di sempadan wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa (KP), yang ditadbir oleh parti Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Khan, untuk menghalang penunjuk perasaan.
PTI mengeluarkan gesaan ‘perarakan terakhir’ untuk mengadakan duduk bantah berhampiran Parlimen sehingga Khan dibebaskan.
Rakaman media menunjukkan kontena gergasi diletakkan di bahagian jalan berbeza di Islamabad, manakala polis menangkap lebih 500 aktivis PTI dari seluruh negara, terutama di wilayah Punjab.
Kerajaan memberi amaran penunjuk perasaan akan dikenakan tindakan, dengan ribuan anggota polis dan tentera dikerahkan untuk menggagalkan protes tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqavi berkata, persediaan sudah dimuktamadkan untuk menggagalkan perarakan tidak sah pembangkang itu.
Ketua Menteri KP, Ali Amin Gandapur berkata, penyokong parti akan berada di bulatan D berhampiran Parlimen walau apa pun berlaku dan hanya meninggalkan ibu negara setelah Khan dibebaskan.
Khan, 72, kini dipenjara di Rawalpindi sejak Ogos 2023 selepas menghadapi pelbagai tuduhan, termasuk rasuah dan keganasan.– ANADOLU










