42 maut serangan kumpulan bersenjata di Pakistan

42 maut serangan kumpulan bersenjata di Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESHAWAR: Serangan kumpulan bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan membawa umat Islam Syiah di barat laut Pakistan, membunuh sekurang-kurangnya 42 orang, termasuk enam wanita dan mencederakan 20 yang lain.

Serangan paling maut itu berlaku di Kurram, sebuah daerah di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di mana pertempuran mazhab membunuh berpuluh-puluh orang dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sehingga kini belum ada yang mengaku bertanggungjawab atas serangan terbaharu itu.

Ia berlaku seminggu selepas pihak berkuasa membuka semula lebuh raya utama di wilayah itu yang telah ditutup selama berminggu-minggu berikutan pertempuran maut.

Pegawai polis tempatan, Azmat Ali berkata, beberapa kenderaan sedang berkonvoi dari bandar Parachinar ke Peshawar, apabila kumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 penumpang berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi menyifatkan tembakan itu sebagai serangan pengganas.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dan Presiden Asif Ali Zardari mengecam serangan itu dan menegaskan, kumpulan yang terlibat dalam pembunuhan orang awam yang tidak bersalah tidak akan terlepas daripada hukuman.

Penduduk Kurram, Mir Hussain, 35, berkata, dia melihat empat lelaki bersenjata muncul dari sebuah kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah bas dan kereta.

“Saya rasa orang lain turut menembak ke arah konvoi kenderaan dari kawasan ladang terbuka berhampiran. Tembakan berterusan selama kira-kira 40 minit.

“Kami bersembunyi sehingga penyerang melarikan diri. Saya mendengar jeritan wanita dan orang ramai menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Ibne Ali Bangash, saudara kepada salah seorang mangsa, menyifatkan serangan konvoi itu sebagai hari paling menyedihkan dalam sejarah Kurram.

“Lebih 40 orang daripada komuniti kami telah syahid. Ia adalah perkara yang memalukan bagi kerajaan,” katanya.

Pemimpin Syiah tempatan, Baqir Haideri mengecam serangan itu dan berkata, jumlah kematian mungkin meningkat.

Pemilik kedai di Parachinar mengumumkan mogok pada hari Jumaat untuk membantah serangan itu.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×