Mindef kaji beli helikopter bukan sewa

Mindef kaji beli helikopter bukan sewa

MOHAMED KHALED Nordin dan Azizul Azily Ahmad (kanan) bersama penerima Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. di Masjid Muhajirin, Masai, Pasir Gudang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Per­tahanan (Mindef) meng­kaji sama ada terdapat ke­perluan membeli terus helikopter bagi kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan bukan menyewa seperti cadangan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaima­napun berkata, perkara itu bakal memakan tempoh lebih lama kerana ketiadaan helikopter tersedia mengikut spesifikasi dikehendaki.

“Kita perlu faham usaha mendapatkan satu-satu perolehan aset akan memakan masa. Dalam konteks helikopter Black Hawk yang ingin diperoleh TDM, mereka perlu buat kajian untuk mendapatkan helikopter yang mengikut spesifikasi dikehendaki.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya ini sedang diusahakan, perancangan awal adalah untuk menyewa helikopter bagi tempoh lima tahun dan bukan membeli. Tetapi jika itu tidak dapat diteruskan, mungkin kita perlu fikir untuk membeli, tetapi itu mungkin memakan masa le­bih lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) di Masjid Muhajirin, Masai, Pasir Gudang, dekat sini semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.

Pada 6 November lalu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memaklumkan Mindef mengemukakan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat kontraktor yang gagal membekalkan pesawat itu bagi kegunaan TDM.

Keputusan itu dibuat selepas syarikat berkenaan tidak meme­nuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun dilanjutkan sehingga hujung Oktober lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia tidak perlu mengikut tindakan Fi­lipina mengeluarkan peta baharu yang menyaksikan pertindihan dalam kawasan maritim negara di Laut China Selatan.

Katanya, tindakan menge­luarkan peta baharu menunjukkan terdapat perubahan, sedang­kan peta negara tiada sebarang perubahan serta masih terpakai hingga kini.

“Peta kita tidak berubah, yang berubah adalah peta mereka (Fi­lipina), mereka ubah sempadan peta dan memasuki kawasan kita, peta kita tetap peta kita.

“Sehubungan itu, kita akan tetap pertahankan kawasan ne­gara dan kedaulatan kita me­nerusi saluran diplomasi me­ngikut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohamed Khaled menjelaskan, tindakan Filipina bukan satu bentuk serangan terhadap negara, sebaliknya hanya melibatkan isu pertindihan kawasan.

“Semua mesti faham ini bukan satu serangan dari sebuah negara kepada negara kita, ia hanya me­libatkan soal tuntutan bertindih. Jadi, pendekatan kita guna adalah berdiplomasi.

“Selagi boleh berbincang dan berunding, kita akan gunakan pendekatan mengikut undang-undang antarabangsa. Bagi me­nunjukkan itu kawasan kita, kita akan lakukan show of presence dan maritime domain awareness di kawasan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini