TEL AVIV: Ahli keluarga daripada puluhan tebusan yang masih ditawan di Gaza sangat berharap dapat membawa pulang insan tersayang, walaupun berlaku perubahan besar terhadap proses rundingan gencatan senjata.
Perubahan itu termasuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, pemecatan Menteri Pertahanan Israel, keputusan Qatar menangguhkan pengantaraannya dan perang di Lubnan yang masih berterusan.
Situasi itu secara tidak langsung menolak kemungkinan berlaku gencatan senjata terhadap konflik yang sudah melebihi tempoh setahun itu.
“Saya rasa mungkin ada harapan baharu,” luah nenek kepada tebusan Israel-Amerika, Edan Alexander, Varda Ben Baruch.
Alexander adalah seorang tentera yang diculik di pangkalan di sempadan Gaza semasa serangan Hamas, 7 Oktober, tahun lalu.
Minggu ini, ibu bapa Alexander, Adi dan Yael Alexander yang tinggal di New Jersey bertemu dengan Donald Trump dan Joe Biden di Washington.
Pasangan itu merayu kepada kedua-dua pemimpin tu agar bekerjasama untuk membawa pulang semua tebusan dalam satu perjanjian.
“Sebagai seorang nenek, saya katakan, bekerjasama. Trump mahukan keamanan di rantau ini, Biden pula sentiasa berkata mahu membebaskan tebusan.
“Jadi, bekerjasama dan melakukan sesuatu yang penting untuk kehidupan manusia,” kata Ben Baruch.
Warga emas itu berkata, belum ada pemimpin yang menawarkan butiran atau rancangan khusus untuk membebaskan tebusan atau memulakan semula rundingan gencatan senjata di Gaza.
“Kami tidak terlibat dalam politik, bukan Amerika dan bukan Israel. Kami hanya mahu orang tersayang pulang.
“Edan diculik kerana dia adalah seorang Yahudi, bukan kerana dia mengundi parti tertentu,” katanya
Untuk rekod, lebih 250 individu diculik dan 1,200 penduduk Israel terbunuh semasa pencerobohan Hamas di sempadan.
Kempen balas dendam Israel pula mengorbankan lebih 43,000 nyawa rakyat Palestin dan 90 peratus daripada 2.3 juta penduduk pula kehilangan tempat tinggal.-AP











