GEORGE TOWN: Ketiadaan pengumuman kenaikan cukai rokok dan tembakau dalam Belanjawan 2027 amat mengecewakan kerana langkah itu dilihat penting bagi membendung tabiat merokok khususnya dalam kalangan remaja dan golongan belia.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. berkata, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk menangani penyakit berkaitan tabiat merokok, namun tiada kenaikan cukai jualan atau duti eksais rokok diumumkan dalam belanjawan yang dibentangkan kelmarin.

Menurutnya, keadaan itu amat mengecewakan ketika kerajaan terus memperuntukkan bantuan kewangan yang besar kepada rakyat bagi tahun hadapan.
“Amat mengecewakan apabila tiada apa-apa diumumkan mengenai kenaikan duti eksais rokok sedangkan kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menangani penyakit yang disebabkan oleh tabiat merokok.
“CAP melihat kerajaan tidak menggunakan dasar percukaian sebagai salah satu langkah untuk mengawal penggunaan rokok,” katanya semalam.
Sebelum ini, CAP menggesa kerajaan agar menaikkan cukai rokok dalam Belanjawan 2027 sebagai salah satu usaha membendung tabiat merokok.
Bagaimanapun, tiada pengumuman berkaitan kenaikan kadar cukai rokok atau duti eksais tembakau oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027, semalam.
Sementara itu, Subbarow berkata, ketiadaan langkah menaikkan cukai rokok juga boleh menjejaskan usaha mengawal tabiat merokok terutama apabila produk tembakau masih menjadi pilihan dalam kalangan remaja, pelajar dan golongan muda.
“Rokok merupakan produk berbahaya yang boleh menyebabkan ketagihan dan meningkatkan risiko pelbagai penyakit, sekali gus membebankan sistem kesihatan negara,” katanya.











