TIDAK reti duduk diam dan gemar melompat, bermain serta berguling ke sana sini tanpa henti.
Paling mencuit hati apabila ‘si pelawak’ kecil ini mula mempamerkan aksi mengheret badan kerana mahu berjalan dalam posisi berbaring.
Keletah lucu burung badut atau nama saintifiknya, White Bellied Caique (WBC) itu sering kali membuatkan Afiqah Rashid, 30, ketawa hingga pecah perut.
Ibu tiga anak ini berkata, burung daripada spesis kakak tua itu mula dipelihara sejak Mac lalu setelah dibeli pada harga kira-kira RM6,000.
“Memandangkan karakternya mirip badut, saya dan suami sepakat untuk menamakannya sebagai Joker.
“Joker kini berusia sembilan bulan dan kehadirannya menceriakan lagi kehidupan kami sekeluarga terutama dengan aksi-aksi kelakar dan menghiburkan pada setiap masa,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Afiqah tertarik untuk memelihara burung badut disebabkan tingkah laku hiperaktif di samping bulunya yang berwarna-warni.
Katanya, bahagian tengkuk haiwan itu berwarna oren manakala pipi dan kakinya pula kuning, putih (perut) diikuti hijau (sayap dan ekor).
Dalam pada itu, kongsinya, burung badut jarang dijadikan sebagai haiwan peliharaan berikutan kesukaran untuk mendapatkan baka atau anak.
Hal itu kerana, tidak semua telur yang dihasilkan induk mampu menetas dengan sempurna.
Malah, wanita berasal dari Simpang Ampat ini berkata, dirinya merupakan antara lima pemilik burung badut di Pulau Pinang.
Teman berbasikal
Di sebalik kesibukannya sebagai pengusaha spa, Afiqah tetap meluangkan sekurang-kurangnya sejam sehari untuk bermain dengan Joker.
Pada hujung minggu pula, wanita ini membawa si manja kesayangannya berbasikal di taman permainan berdekatan kediaman.
“Joker diletakkan di atas stand pada pemegang basikal dengan kakinya dipasang rantai.
“Sepanjang kayuhan, biasanya ia hanya duduk diam dan berkelakuan baik seolah-olah seronok dapat menikmati keindahan suasana di sekeliling,” katanya.
Sementara itu, Afiqah berkata, burung badut juga sinonim dengan sifat mesra berbanding spesis kakak tua lain.
Kelebihan itu sekali gus memudahkan pemilik baharu untuk lekas akrab dengan haiwan ini tanpa perlu mengambil masa yang lama.
“Kebanyakan burung lain sukar menerima tuan baharu tetapi tidak bagi burung badut yang cepat mesra dengan sesiapa sahaja.
“Haiwan ini juga tidak menyerang atau menggigit jika dikelilingi individu asing,” katanya yang turut memiliki 34 burung kakak tua lain.
Kebanyakan kakak tua becok berkata-kata tetapi berbeza situasinya dengan burung badut.
Kata Afiqah, burung badut tidak boleh bercakap, namun ia memiliki kelebihan lain iaitu hebat meniru bunyi hon kereta dan wisel.

Buah, sayuran segar
Afiqah sangat mengambil berat soal pemakanan dengan memberikan buah-buahan dan sayuran segar kepada burungnya, selain palet serta kekacang.
Langkah itu bertujuan memastikan Joker kekal sihat dan mendapat nutrisi secukupnya untuk tumbesaran.
“Joker makan dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang dengan menu-menunya saya gilirkan supaya ia tidak bosan.
“Untuk sayuran, biasanya saya berikan jagung, lobak, bayam, brokoli, kacang panjang dan kacang buncis,” katanya yang menganggarkan kos penjagaan Joker kira-kira RM200 sahaja untuk dua
bulan.
Menariknya, burung tidak memerlukan sebarang vaksin atau vitamin kerana nutrisi itu boleh diperolehi daripada diet.










