WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memilih penyokong setia yang kurang pengalaman untuk menyandang beberapa jawatan utama Kabinet yang mengejutkan ramai penganalisis dan beberapa sekutunya.
Pilihan Trump bagi anggota kongres Matt Gaetz, 42, sebagai peguam negara yang juga pegawai penguatkuasa undang-undang tertinggi AS, adalah pilihan yang paling mengejutkan.
Bekas peguam itu tidak pernah bekerja di Jabatan Kehakiman atau sebagai pendakwa raya dan pernah disiasat oleh Jabatan Kehakiman atas dakwaan pemerdagangan seks.
“Trump berikrar dalam kempen untuk mengejar musuh politiknya, termasuk Presiden Demokrat, Joe Biden, ikrar yang tidak mungkin dihalang Gaetz.
“Gaetz akan melakukan tepat seperti yang Trump katakan, itulah sebabnya dia dipilih,” kata sumber yang rapat dengan Trump.
Semalam, Trump melantik Tulsi Gabbard sebagai pengarah perisikan negara.
Bekas anggota kongres Demokrat yang melompat ke Republikan itu sebelum ini lantang bersuara menentang campur tangan tentera dalam perang saudara di Syria dan membayangkan bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin mempunyai alasan yang sah untuk menyerang Ukraine.
“Saya tahu Gabbard akan membawa semangat tidak gentar yang telah menentukan kerjayanya yang cemerlang kepada komuniti perisikan kami, memperjuangkan hak perlembagaan kami dan menjamin keamanan melalui kekuatan,” kata Trump dalam satu kenyataan.
Gabbard tidak mempunyai banyak pengalaman langsung dengan kerja risikan dan tidak dijangka secara meluas akan diambil untuk jawatan itu, yang bertanggungjawab memantau 18 agensi pengintipan.
Selasa lalu, Trump memilih Pete Hegseth, seorang pengulas Fox News dan veteran tentera untuk menggalas jawatan setiausaha pertahanan yang turut membuat ramai pegawai tentera dan anggota Republikan bingung.
Penganalisis berpendapat, perkara biasa bagi Trump untuk memilih individu yang setia dan tidak mungkin menolak arahannya walaupun yang paling kontroversi.-REUTERS










