Gandingan Sam Bunkface dan Inteam dalam Mencari Sinar - Utusan Malaysia

Gandingan Sam Bunkface dan Inteam dalam Mencari Sinar

Kumpulan Inteam dan Sam Bunkface.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua nama besar industri muzik tanah air dalam genre berbeza, Inteam dan Sam Bunkface tampil bersama-sama berganding menerusi sebuah lagu terbaharu Mencari Sinar.

Ramadan ini lebih enak jikalau pendengar didendangkan lagu bertemakan kerohanian sementelah Mencari Sinar sarat membawa mesej tentang penghijrahan serta memberi motivasi untuk individu berubah menjadi lebih baik.

Menerusi lagu tersebut juga dapat mengajak masyarakat untuk sentiasa muhasabah diri dan mengingati kebesaran Yang Maha Esa.

Menurut Inteam, pihak Smileyriver pernah menjemput mereka berkolaborasi bersama penyanyi hebat, Alif Satar untuk lagu Jangan Menghina pada 2017. Kemudian kini ditawarkan sekali lagi berganding dengan vokalis punk rock, Sam Bunkface.

“Pemilihan Sam Bunkface untuk berkolaborasi dengan kami dibuat oleh pihak Smileyriver. Untuk makluman, label ini adalah hak milik kepada anak Allahyarham Ahmadi Hassan, penyanyi nasyid lagenda yang disegani dahulu.

“Seterusnya, kita masih lagi mengekalkan melodi dan susunan daripada lagu asal yang dinyanyikan oleh Allahyarham Ahmadi Hassan. Cuma, susunan muzik dibuat oleh Sam yang dibantu sound engineer beliau yang memberi sedikit penambahan elemen-elemen kesan muzik moden.

“Tambah pula, Sam telah membuat improvasi dengan selitan elemen rap serta ditambahkan dengan mainan petikan gambus daripada Fauziah Gambus,” kata kumpulan Inteam kepada Utusan Malaysia.

Bagi Sam Bunkface pula, Mencari Sinar cukup istimewa pada dirinya kerana karya terbaharu itu merupakan kali pertama dia membawa genre kerohanian dan lain dari kebiasaan.

“Sam pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi selalu tak jadi. Jadi kali ini, Allah makbulkan doa sam, tiba-tiba label Smileyriver ditawar dalam kolaborasi untuk lagu ini.

“Alhamdulillah, bekerja dengan pihak Inteam sangatlah mudah dan mereka juga lebih berpengalaman daripada Sam, jadi Sam yang banyak mengambil input dan belajar daripada mereka.

“Sam berharap pendengar muzik tempatan dapat menerima karya Sam yang mungkin kali ini sedikit berlainan bentuknya daripada lagu- lagu Sam yang lain. Yang penting, hayati mesejnya dan semoga dapat memberi sedikit inspirasi dalam hidup anda,” ujarnya.

Inteam juga turut memberitahu selepas Aildilfitri, mereka akan melancarkan satu single baharu nasyid berjudul God’s Love yang berganding bersama penyanyi nasyid dari United Kingdom. Muzik video lagu tersebut akan diterbitkan oleh Inteam Digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×