Kedi tempatan tidak tahan panas

Kedi tempatan tidak tahan panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dakwaan pengurusan kelab golf meminggirkan pekerja tempatan dan mengutamakan pekerja asing disifatkan tidak berasas oleh pengusaha industri berkenaan.

Pengurus Kelab Golf Tiara Melaka, Johari Md. Derus berkata, pihaknya menggunakan hikmat pekerja tempatan terutamanya di bahagian padang seperti memotong rumput, meratakan bunker, menyiram air pada rumput dan sebagainya.

Katanya, isu yang dihadapi adalah untuk mendapatkan kedi wanita tempatan kerana ia merupakan permintaan tertinggi dalam kalangan pemain golf berbanding kedi lelaki tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan kebanyakan kelab golf terpaksa mendapatkan khidmat kedi warga Indonesia walaupun menyalahi undang-undang apabila berkhidmat tanpa permit.

“Kita ada sekumpulan kedi lelaki tempatan tetapi tidak mendapat sambutan melainkan jika ada kejohanan-kejohanan besar. Mereka ini kedi tetap di sini tetapi pemain golf tidak berminat guna khidmat mereka.

“Kita tidak boleh paksa pemain golf supaya mengambil kedi lelaki tempatan kerana itu adalah hak mereka, hendak ataupun tidak. Hak sebagai pelanggan kita harus hormati.

“Untuk dapat kedi wanita tempatan sangat sukar kerana mereka bekerja dalam tempoh sebulan atau dua bulan dan selepas itu berhenti. Mereka tidak tahan panas bekerja pagi dan petang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, sebanyak RM2.8 juta mengalir keluar dari negara pada setiap bulan ekoran tindakan kelab-kelab golf mengambil dan mengutamakan 1,740 pekerja asing untuk berkhidmat sebagai kedi tanpa permit sah dengan menganaktirikan pekerja tempatan.

Jumlah itu mengambil kira gaji daripada hampir separuh pendapatan RM4,000 yang diperoleh warga asing dan dihantar pulang ke kampung halaman untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Operasi Kelab Golf A’ Famosa Resort, G. Gunasegaran berkata, kebanyakan pekerja tempatan tidak berminat bekerja di padang golf.

Menurutnya, sebahagian besar daripada mereka mengakui tidak tahan dengan cuaca panas dan kurang pengetahuan tentang bidang tugas berkaitan sukan berkenaan.

“Sebahagian besar mereka ini malas datang kerja dan sering kali menggunakan sijil sakit (MC), jadi kita tidak ada pilihan untuk dapatkan khidmat pekerja warga Indonesia khususnya sebagai kedi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini