GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran negeri Rakhine di Myanmar yang dilanda perang saudara kini menuju ke arah krisis kebuluran.
Perang saudara di negara bergolak itu mengekang aktiviti perdagangan dan pegeluaran hasil pertanian.
Laluan perdagangan antarabangsa dan domestik menuju ke negeri yang sudah daif itu sudah ditutup, menyebabkan pintu masuk bantuan dan barangan sangat terhad.
“Ekonomi Rakhine telah berhenti berfungsi dan kira-kira dua juta orang berisiko kebuluran,” menurut laporan Program Pembangunan PBB (UNDP).
Laporan itu mengunjurkan krisis kebuluran melanda menjelang pertengahan 2025, jika tahap ketidakamanan makanan semasa tidak ditangani.
Selain pertempuran sengit, UNDP melaporkan penduduk di Rakhine berdepan ketiadaan sumber pendapatan, hiperinflasi dan pengurangan pengeluaran makanan domestik yang ketara.
Dengan ekonomi pertanian yang dilanda krisis, UNDP meramalkan pengeluaran makanan tempatan hanya mampu menampung 20 peratus daripada keperluan negeri, menjelang Mac atau April, tahun depan.
Pengeluaran beras makin merosot disebabkan kekurangan benih, baja dan keadaan cuaca yang teruk.
Menurut UNDP, kira-kira 97,000 tan beras dijangka ditanam di Rakhine, tahun ini, berbanding 282,000 tan tahun lepas.
Berdasarkan angka PBB, negeri Rakhine merekodkan lebih 500,000 orang kehilangan tempat tinggal pada Ogos lalu, berbanding hanya di bawah 200,000 pada Oktober, tahun lalu. -AFP











