Bibir merupakan antara barangan kosmetik yang penting bagi seorang wanita untuk menaikkan seri wajah.
Namun, kadangkala ramai yang kurang mengambil serius mengenai bahan yang terkandung dalam kosmetik tersebut.
Sedangkan, tanpa sedar, kosmetik yang digunakan pada bibir seperti gincu atau pelembap bibir kebiasaannya akan ditelan dan masuk ke dalam mulut ketika makan atau minum.
Pengasas jenama rangkaian penjagaan badan dan wajah semula jadi, Wunderbath, Evelyn Marieta berkata, penggunaan bahan semula jadi misalnya makanan dan berasaskan tumbuhan adalah pilihan terbaik bagi produk penjagaan wajah dan tubuh.
Terutamanya bagi produk penjagaan bibir seperti gincu atau pelembap bibir.
“Saya mengasaskan Wunderbath sejak 2015 kerana saya memiliki bibir yang sensitif.
“Setiap kali saya mengaplikasikan gincu atau pelembap, bibir saya akan bertindak balas dengan bahan kimia yang ada dalam produk berkenaan.
“Sejak itu, saya hasilkan sendiri formula pelembap bibir yang lebih semula jadi dengan menggunakan bahan-bahan yang selamat, daripada tumbuhan dan bebas bahan kimia,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran pelembap bibir terbaharunya berperisa kek coklat indulgence.
Pelembap bibir unik itu merupakan hasil kerjasama bersama Secret Recipe yang sememangnya terkenal dengan kek perisa coklat indulgence.
Tambah Evelyn, pelembap bibir berperisa kek itu bukan sahaja memberikan kelainan daripada segi rasa dan bau, malah ia selamat digunakan terutamanya untuk bibir sensitif.
“Kami masih mengekalkan identiti Wunderbath dengan menggunakan bahan yang lebih semula jadi untuk bibir.
“Saya secara peribadi memang lebih menyukai bahan seperti minyak jojoba atau mentega shea sebagai bahan asas dalam pelembap bibir berbanding minyak silikon.
“Bahan-bahan ini ia juga bertindak merawat bibir dari dalam berbanding bahan kimia lain yang hanya ‘menutup’ cela pada bibir apabila dipakai,” jelasnya.
Pelanggan Secret Recipe boleh mendapatkan pelembap bibir coklat indulgence secara percuma melalui promosi hadiah dengan pembelian (GWP) bermula 24 Oktober 2024.










