GENEVA : Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus mengecam keputusan Israel untuk memutuskan hubungan dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi sokongan kepada pelarian Palestin.
Tegasnya, langkah tersebut tidak akan menjadikan negara itu lebih selamat, malah meningkatkan penderitaan rakyat Gaza.
“Biar saya jelaskan: Tiada alternatif lain kepada UNRWA.
“Larangan ini tidak akan menjadikan Israel lebih selamat. Ia hanya akan mendalamkan penderitaan rakyat Gaza dan meningkatkan risiko penularan penyakit,” kata Tedros dalam satu video yang dimuat naik di platform X, merujuk kepada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Kenyataan itu dibuat selepas Israel secara rasmi memaklumkan PBB mengenai keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan UNRWA, selepas penggubal undang-undang Israel menyokong langkah tersebut, minggu lalu.
Penangguhan terhadap agensi yang menyelaraskan hampir semua bantuan di Gaza, yang kini terjejas akibat konflik, mencetuskan kecaman global termasuk daripada Amerika Syarikat yang merupakan penyokong utama Israel.
Langkah ini dijangka berkuat kuasa akhir Januari dan Majlis Keselamatan PBB memberi amaran ia akan memberi kesan buruk terhadap berjuta-juta pelarian Palestin.
Israel menuduh kira-kira 12 pekerja UNRWA terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang disifatkan paling dahsyat dalam sejarah negara itu.
Beberapa siasatan mendapati isu berkaitan neutraliti di UNRWA tetapi menyatakan Israel tidak memberikan bukti kukuh terhadap tuduhan utamanya.
UNRWA, yang ditubuhkan pada 1949 selepas konflik Arab-Israel pertama susulan penubuhan Israel pada tahun sebelumnya, menyediakan bantuan kepada hampir enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Jordan, dan Syria.
Perang Israel dan Hamas setakat ini meragut 43,374 nyawa di Gaza, majoritinya orang awam, menurut data Kementerian Kesihatan wilayah itu. -AGENSI











