Ubah cara kita bekerja, bukan hanya bersikap pasif

Ubah cara kita bekerja, bukan hanya bersikap pasif

PERKEMBANGAN teknologi merubah cara kerja daripada analog kepada gaya kerja era digital yang lebih fleksibel. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari ini berubah dan terus berubah dengan pantas. Perubahan yang melanda kehidupan dan dunia akibat ledakan teknologi digital.

Selain maklumat di hujung jari, teknologi digital juga mempercepatkan urusan kehidupan masyarakat dengan menjadikan sesuatu pekerjaan dilaksanakan dengan lebih pantas. Lantaran itu, dunia seolah-olah tiada sempadan sama ada muka bumi atau masa.

Teknologi digital juga mengubah senario kehidupan masyarakat daripada bersikap menunggu kepada bertindak dengan lebih proaktif. Setiap yang berlaku itu pula akan mengundang respon yang pantas daripada masyarakat sama ada masyarakat akan memberikan pujian, kritikan atau pandangan.

Mendepani era dunia berubah pantas, masyarakat mesti mempunyai pendekatan dan strategi yang pantas juga.

Kegagalan bertindak pantas akan mencetuskan pelbagai cabaran lain. Hal ini kerana masyarakat dipengaruhi teknologi digital akan berfikir, bertindak dan sentiasa responsif pada situasi dengan pantas, yang kadang kala melangkau nilai serta batas norma kebiasaan.

MUSUH AKAN ADA
Dalam melaksanakan sesuatu tugas atau pekerjaan, seseorang itu hendaklah melaksanakannya dengan pantas. Ini bermakna kegagalan menguruskan dan melaksanakan tugas mahupun kerja dalam era dunia berubah pantas membawa kepada adanya musuh.

Musuh yang muncul akan melemparkan kritikan dengan bebas walaupun kritikan itu melampaui rasional. Mereka tidak mengambil kira mahupun ambil tahu tentang tatacara dan prosedur bagi melaksanakan sesuatu tugas dan kerja. Sebaliknya, berharap urusan itu diuruskan dengan segera.

Sehubungan dengan ini, saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar agar peraturan, sistem mahupun prosedur kerja disemak adalah tepat pada masanya kerana dalam era digital, aspek pengurusan serta pelaksanaan sesuatu tugas perlu diuruskan dengan cekap dan pantas.

Tatacara yang tidak membina inisiatif merangkai titik-titik (connecting the dots) dalam memastikan tugas yang cekap dan segera untuk diselesaikan hendaklah dipinda. Peraturan mengekang gaya kerja yang mencabar proses dalam era dunia berubah pantas mesti disemak semula.

Dalam masa sama, semakan terhadap peraturan dan surat pekeliling mesti diikuti dengan perubahan pemikiran.

Sesuai dengan situasi ini, setiap orang hendaklah bekerja dengan mentaliti baharu, iaitu gaya bekerja era digital dan bukannya mentaliti analog.

Bekerja dengan mentaliti era digital perlu bagi mengubah strategi, sistem kerja, nilai yang dikongsi dan budaya kerja. Perubahan ini dilihat sebagai fundamental kerana cara dan budaya kerja pada hari ini amat berbeza.

Oleh itu, setiap tugas dan kerja hendaklah diurus dengan sistematik. Di samping itu, pegawai tidak boleh lagi membuang masa dengan banyak bercakap, bak kata pepatah, ‘banyak bercakap, suatu kerja pun tidak tertangkap’.

Teknologi digital yang diaplikasikan dalam sistem pengaturcaraan, robotik dan kecerdasan buatan (AI) membuatkan dunia bergerak dengan laju dan pantas. Lantaran itu, aktiviti kehidupan manusia turut bergerak laju dan pantas.

Misalnya, permainan bola sepak dalam aplikasi digital membuatkan seseorang itu sentiasa pantas membuat tindakan dan keputusan.

Tangan mereka pantas mengendalikan permainan melalui kayu bedik. Mata pemain juga turut pantas meneliti pergerakan dalam permainan yang sedang berlangsung.

Demikian juga dalam urusan kewangan menjadikan urusan transaksi boleh dilaksanakan hanya dalam beberapa minit sahaja.

Sehubungan dengan ini, kaedah dalam melaksanakan sesuatu tugas hendaklah sentiasa disemak untuk disesuaikan dengan perubahan dan cabaran semasa.

Kemahiran pekerja juga hendaklah sentiasa dipertingkat atau diperbaharui. Seseorang pekerja tidak boleh terhad dengan hanya satu kemahiran sahaja bagi mendepani situasi yang mencabar.

Kaedah kerja juga perlu memperlihatkan kaedah yang fleksibel bagi membolehkan tindakan adaptasi berlaku dengan pantas apabila berlaku situasi yang luar biasa.

Malah, bagi mengelakkan kegagalan bertindak pantas pada situasi yang berubah-ubah pada setiap hari, amat penting jangkaan pada situasi, keputusan atau tindakan dibuat dengan cermat berdasarkan maklumat, data dan maklum balas.

Dengan jangkaan tersebut, pendekatan, strategi bagi pelan kontigensi untuk sesuatu tugas dapat dirancang lebih awal.

TIDAK BERKEMBANG
Berdasarkan penjelasan dan contoh yang diberikan, jelas bahawa kehidupan manusia adalah pantas pada hari ini.

Urusan kerja di rumah, pejabat, perniagaan dan perbankan berjalan pantas. Anak-anak juga membesar dengan aktiviti yang pantas seperti dalam proses belajar mahupun bermain.

Sehubungan dengan ini, seseorang itu hendaklah pantas menganalisis, menilai, membuat justifikasi, keputusan terhadap sesuatu situasi, kejadian serta maklumat, di samping sentiasa bersemangat dan berpandangan jauh.

Menerusi gaya hidup demikian, seseorang itu mampu memahami apa-apa yang sedang berlaku dan mengambil peluang untuk memperkembang potensi diri.

Sekiranya seseorang itu bersikap pasif dan hanya menunggu dalam era dunia berubah pantas, mereka akan ketinggalan dan tidak akan berkembang. Hal ini akan mewujudkan cabaran besar dalam kehidupan mereka.

Berpandukan akal, kebijaksanaan, nyala rasa terhadap kehidupan dan bersama-sama nilai pegangan, teknologi digital yang menatijahkan dunia berubah dengan pantas itu tidak lain hanya sebagai alat dalam sebuah kehidupan yang sofistikated. – UTUSAN

DR. Mohd. Azam Ahmad Ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×