MUKADIMAH
Permintaan tinggi untuk rumah bergaya hidup mewah di kawasan Lembah Klang mendorong pertumbuhan pesat sektor hartanah dengan tumpuan ketara kepada pembeli muda.
Namun, di tengah perlumbaan ini, Radium Development Berhad mengambil langkah proaktif dengan membangunkan projek melalui program Skim Residensi Wilayah (Rumawip) melalui Vista Adesa sebagai inisiatif yang bertujuan menyediakan peluang pemilikan rumah pertama kepada keluarga bandar pada harga mampu milik.
Wartawan Utusan Malaysia, AMIRUL AIMAN OSMAN berpeluang menemubual Pengarah Urusan Kumpulan, Radium Development Berhad, DATUK GARY GAN untuk berkongsi berkenaan projek rumah mampu milik itu.
UTUSAN: Apakah kepentingan menyediakan pilihan perumahan mampu milik di kawasan bandar seperti Lembah Klang dan bagaimana Vista Adesa menyumbang kepada usaha merapatkan jurang ini?
GARY: Keterjangkauan perumahan adalah isu yang memberi kesan kepada bandar-bandar utama di seluruh dunia, termasuk Malaysia dan Lembah Klang. Isu ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pertumbuhan pendapatan dan pembandaran yang didorong oleh peluang pekerjaan yang lebih baik di kawasan bandar.
Mempunyai pilihan rumah mampu milik di kawasan bandar seperti Lembah Klang adalah penting kerana ia membolehkan individu dan keluarga daripada pelbagai latar belakang sosio-ekonomi memiliki rumah berhampiran tempat kerja dan kemudahan penting.
Sebagai penyokong kuat bahawa hartanah harus boleh diakses oleh semua, projek kami bakal memenuhi setiap segmen masyarakat. Pembangunan Vista Adesa @ Desa East Residences yang dilancarkan pada Mei 2023, dengan menawarkan 1,218 unit di bawah RUMAWIP pada harga RM300,000 setiap satu, bukan sahaja memenuhi permintaan untuk perumahan mampu milik tetapi juga menyokong pembangunan inklusif di Lembah Klang.
Apakah pendekatan pembangunan Radium untuk memastikan Vista Adesa memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang sosio-ekonomi?
Pembangunan Vista Adesa oleh Radium Development difokuskan untuk pembeli rumah kali pertama dengan menekankan aspek mampu milik. Setiap unit berkeluasan 800 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, ideal untuk individu dan keluarga muda.
Selaras dengan moto ‘Building Good’, projek itu menawarkan pelbagai kemudahan moden seperti taman permainan, gimnasium luar, kolam renang, padang hijau dan kelab rekreasi. Lokasinya yang strategik di Sungai Besi turut memudahkan akses ke lebuh raya utama serta kawasan sekitarnya seperti Cheras, Bangsar, dan Petaling Jaya.
Apakah cabaran dan peluang dalam membangunkan projek rumah mampu milik di Lembah Klang dan bagaimana pemaju boleh mengatasi halangan ini?
Pembangunan projek rumah mampu milik di Lembah Klang membawa cabaran dan peluang tersendiri. Antara cabaran utama adalah kos yang meliputi kos pengambilan tanah, kos pembinaan, serta memastikan kemampuan untuk pengguna tanpa menjejaskan kualiti.
Walau bagaimanapun, peluang yang timbul termasuk memenuhi permintaan yang tinggi terhadap rumah mampu milik telah menyokong pembangunan inklusif ini dan secara tidak langsung membina reputasi jenama yang kukuh.
Selain itu, untuk mengatasi cabaran ini, pemaju boleh menggunakan teknik pembinaan inovatif seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), mengoptimumkan penggunaan tanah dan bekerjasama dengan kerajaan serta institusi kewangan bagi mendapatkan pembiayaan dan sokongan.
Kami di Radium turut melaksanakan kejuruteraan nilai bagi pengoptimuman kos, melibatkan kerjasama dengan perunding kuantiti luar untuk langkah penjimatan kos. Langkah-langkah ini memastikan kami dapat menyediakan produk berkualiti kepada pelanggan pada harga yang kompetitif.
Apakah visi jangka panjang Radium untuk menangani jurang perumahan mampu milik di Malaysia dan rancangannya untuk projek masa depan yang bertujuan untuk menyokong rakyat Malaysia dalam mencapai pemilikan rumah?
Visi jangka panjang Radium untuk menangani jurang perumahan mampu milik di Malaysia adalah dengan terus menyediakan pilihan perumahan berkualiti yang memenuhi pelbagai tahap pendapatan. Kami komited untuk membina rumah yang baik dan mudah diakses bagi semua rakyat Malaysia, seperti yang dibuktikan melalui penyertaan kami dalam skim perumahan mampu milik RUMAWIP serta fokus kami dalam menyediakan rumah dengan harga yang kompetitif di lokasi strategik.
Pada masa yang sama, kami turut meneroka peluang kepelbagaian perniagaan dengan memperkenalkan projek-projek baharu serta kemungkinan berkembang ke sektor atau kawasan baharu yang sesuai dengan teras perniagaan kami.
Dengan mengekalkan fokus pada pasaran mampu milik dan harga yang kompetitif, serta memastikan kemampanan perniagaan, kami berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk terus menyokong lebih ramai rakyat Malaysia mencapai impian pemilikan rumah menerusi penawaran produk yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.
Bagaimanakah Vista Adesa berhasrat untuk mewujudkan komuniti mesra yang mencerminkan budaya Malaysia?
Vista Adesa direka untuk meraikan dan menghargai kepelbagaian budaya Malaysia yang kaya. Kami menyasarkan untuk mewujudkan komuniti yang mesra dengan menggabungkan unsur-unsur yang selari dengan ciri kepelbagaian budaya negara ini. Reka bentuk seni bina dan perancangan landskap kami merangkumi ruang yang memupuk interaksi komunal dan pertukaran budaya, seperti dek luar, kolam renang, taman berlandskap, kawasan barbeku serta kawasan yang dilengkapi dengan gimnasium, surau, dan bilik serba guna.
Dengan lokasinya yang strategik di Sungai Besi, sambungan mudah ke lebuh raya utama dan akses pengangkutan awam yang menghubungkan ke kawasan perbandaran dan kejiranan. Pembeli dapat menikmati kemudahan seperti hospital awam dan swasta, hab membeli-belah, serta sekolah tempatan dan antarabangsa.
Dari segi kemudahan, pembangunan ini menawarkan lebih banyak berbanding yang biasa terdapat dalam skim RUMAWIP. Ini semua adalah faktor utama bagi keluarga yang mencari rumah mampu milik berhampiran bandar yang turut menyediakan keselesaan setanding kediaman mewah.
Bagaimanakah inisiatif seperti Vista Adesa sejajar dengan aspirasi Kerajaan Malaysia untuk menyokong pembangunan inklusif?
Vista Adesa turut menyokong aspirasi kerajaan Malaysia untuk pembangunan inklusif dengan menyediakan perumahan mampu milik melalui skim RUMAWIP. Skim ini memenuhi keperluan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Projek ini bukan sahaja menyokong inisiatif kerajaan dalam mempromosikan pemilikan rumah, tetapi juga selaras dengan matlamat yang disokong syarikat sendiri iaitu mencipta ruang yang memupuk hubungan dan komuniti.-UTUSAN










