PETALING JAYA: Teguran terhadap menteri perlu dilakukan secara berhemah agar sebarang permasalahan dapat diselesaikan dengan efektif dan telus.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, teguran untuk menteri terutama yang boleh membawa pembaharuan positif sangat penting bagi memperbaiki prestasi kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, bukan mudah rakyat bersuara lebih-lebih lagi jika tidak ada ruang dan peluang berjumpa menteri secara bersemuka yang secara tidak langsung menyukarkan penyampaian maklum balas berkesan.
“Apabila melakukan satu-satu tugasan, menteri perlulah jujur dan ikhlas. Dengan teguran, menteri tersebut boleh jadi lebih efisien dan cekap asalkan teguran tersebut positif dan bukannya berniat jahat atau sengaja cari gaduh.
“Sebab itulah, kerajaan perlu terangkan dengan lebih lanjut apa yang rakyat boleh lakukan sekiranya ingin memberi teguran atau cadangan kepada para menteri, sama ada perlu buat janji temu atau jumpa secara berhadapan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu berani menegur kekurangan dan kelemahan menteri dalam usaha membawa negara ini ke arah kesejahteraan.
Kata Anwar, ia merupakan sebahagian pendekatan ke arah prestasi yang lebih baik dalam keseluruhan aspek terutama pembangunan dan kesejahteraan negara.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, sebarang teguran yang dilakukan oleh rakyat seharusnya bersifat membina dan bukannya menghukum.
“Rakyat perlulah menegur untuk kepentingan bersama. Pada masa sama, menteri juga perlulah ubah mentaliti diri umpama mereka seolah-olah tidak boleh ditegur. Inilah politik matang seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN










