MELAKA: Pengkelasan rakyat berpendapatan tinggi atau lebih dikenali T15 akan ditentukan mengikut pendapatan boleh belanja bersih atau net disposable income dan lokasi tempat tinggal mereka.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penentuan kadar pendapatan boleh belanja bersih tidak boleh diselaraskan secara ‘pukul rata’ tanpa mengambil kira perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) mengikut sesebuah tempat.
Jelasnya, dianggarkan seramai 10 juta isi rumah yang perlu dinilai berdasarkan platform pangkalan data seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Daripada penilaian itu, kita akan kelaskan rakyat mengikut siapa golongan T15, T20 dan berikutnya.
“Penilaian itu perlu sebab perbelanjaan adalah berbeza-beza mengikut kos sara hidup lapisan masyarakat, selain berdasarkan kawasan tempat tinggal.
“Sebagai contoh, pengkelasan penduduk dengan jumlah pendapatan isi rumah RM10,000 di kawasan luar bandar dan di bandar adalah tidak sama kerana kos hidup yang berbeza.
“Di luar bandar, jumlah pendapatan sebanyak itu mungkin menjadikan sesetengah masyarakat sebagai golongan berpendapatan tinggi kerana kos hidup rendah, di bandar pula, mereka
bukan T15, sebaliknya M40,” katanya
Beliau berkata demikian selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Banda Hilir di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan belum memuktamadkan jumlah tangga pendapatan bagi mengklasifikasi penduduk dalam kategori T15.
Golongan tersebut akan dikecualikan daripada beberapa subsidi kerajaan bermula pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan demikian bagi menafikan tanggapan beberapa pihak yang mentakrifkan T15 yang kemungkinan akan dikecualikan daripada subsidi adalah isi rumah dengan berpendapatan RM12,000 ke atas.
Tambah Rafizi, pihaknya dijangka membentangkan dapatan berhubung pengkelasan T15 itu kepada Kabinet dalam tempoh sebulan.
“Beri kami tempoh dalam satu bulan ini untuk melalui segala proses dengan Kementerian Kewangan.
“Kita akan tengok kepada data yang sedia ada, dalam PADU beserta data lain kemudian kita bentangkan hasilnya,” katanya.










