Rosak buah pinggang kalau bersukan berlebihan - Utusan Malaysia

Rosak buah pinggang kalau bersukan berlebihan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini seorang wanita berkongsi di sosial media mengenai pengalamannya berdepan gejala kegagalan buah pinggang selepas melakukan senaman berbasikal setempat.

Selepas senaman, kaki dan pahanya mengalami kesakitan teramat sangat sehingga tidak boleh tidur. Sakit masih terasa walaupun selepas dua hari diberikan suntikan menahan sakit oleh doktor.

Atas nasihat seorang jurulatih yang membaca kisahnya di media sosial, wanita berkenaan berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Wanita itu terkejut kerana dimaklumkan mengalami rhabdomyolisis yang berisiko menyebabkannya mengalami kegagalan buah pinggang.

Rhabdomyolisis berlaku apabila otot mengalami kerosakan akibat senaman berat
yang melebihi kapasiti tubuh. – GAMBAR HIASAN

Bagaimana aktiviti berbasikal menyebabkan kegagalan buah pinggang, bukankah senaman sepatutnya membuatkan seseorang itu lebih sihat?

Pensyarah Perubatan & Pakar Perubatan Dalaman, Fakulti Perubatan & Kesihatan Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM), Dr. Fatimah Zahra Mohamad Rom berkata, rhabdomyolisis berlaku bila otot mengalami kerosakan akibat senaman berat yang melebihi kapasiti tubuh.

Fatimah Zahra Mohamad Rom

“Kecederaan akibat kerosakan otot ini melebihi kapasiti badan untuk membuang komponen-komponen dalam otot yang boleh menyebabkan masalah pada badan. Komponen-komponen kecil dalam otot seperti myoglobin, creatinine kinase (CK), lactate dehydrogenase (LDH) dan elektrolit dilepaskan ke dalam saluran darah, menyebabkan kerosakanbuah pinggang.

“Selain kerosakan buah pinggang akut, kerosakan otot juga boleh menyebabkan aritimia jantung iaitu keadaan di mana degupan jantung tidak normal atau teratur dan disseminated intravascular coagulation (DIC) iaitu pembekuan darah yang tidak normal,” kata.

Rhabdomyolisis juga menyebabkan berlaku ketidaksimbangan elektrolit dalam tubuh. Contohnya, hiperkalemia, hiperphosphatemia dan ketidakseimbangan kalsium.

Hiperkalemia ialah paras kalium yang tinggi dalam darah iaitu melebihi 5.5 mmol/L berbanding tahap kalium normal adalah antara 3.5 dan 5.0 mmol/L. Biasanya hiperkalemia tidak menyebabkan gejala. Namun apabila teruk, ia boleh menyebabkan berdebar-debar, sakit otot, kelemahan otot atau kebas.

Hiperphosphatemia berlaku bila fosfat terlalu tinggi dalam darah yang boleh menjejaskan kesihatan tulang dan jantung sekiranya tidak ditangani.

Ini kerana hiperphosphatemia berkaitan dengan penurunan kalsium dalam darah. Apabila kalsium rendah, tubuh akan mengambil kalsium dari tulang.

Lama-kelamaan, simpanan kalsium dalam tulang akan habis dan menyebabkan tulang rapuh.

Selain itu, risiko kalsifikasi pada dinding pembuluh darah, jaringan mahupun organ lain juga akan meningkat.

Faktor berlaku
Punca rhabdomyolisis terbahagi kepada dua iaitu punca fizikal dan punca bukan daripada fizikal.

Punca fizikal adalah akibat daripada trauma fizikal, kecederaan remuk dalam letupan bom, gempa bumi,  kemalangan, disambar kilat,  terlantar yang berpanjangan dan kesan penderaan.

Punca bukan fizikal pula termasuk akibat jangkitan kuman, ubat-ubatan yang dimakan, alkohol dan kesan masalah endokrin. Jangkitan kuman pula seperti Legionella dan jangkitan virus.

Dr. Fatimah Zahra berkata, rhabdomyolisis juga boleh disebabkan oleh strok haba iaitu pendedahan berpanjangan pada suhu panas di bawah cuaca terik dan berpanjangan.

“Kalau rhabdomyolisis berlaku kerap kepada seseorang individu, pemeriksaan lanjut perlu dijalankan untuk mencari punca yang mungkin disebabkan oleh masalah genetik seperti penyakit McArdle, Brody myopathy dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun hingga kini tiada data mengenai kekerapan berlakunya kes rhabdomyolisis di Malaysia, namun di Amerika Syarikat, dianggarkan 25,000 kes dilaporkan setiap tahun.

Rawat rhabdomyolisis
Mengesan atau diagnosis awal rhabdomyolisis sangat penting supaya pesakit berpeluang mendapat rawatan sewajarnya dan sembuh sepenuhnya.

Dr. Fatimah Zahra berkata, rawatan bertujuan mengelakkan pesakit mendapat komplikasi serius iaitu kerosakan buah pinggang.

“Rawatan penting dan utama ialah hidrasi yang agresif (aggressive hydration).

“Pemantauan elektrolit juga antara langkah penting perlu dilakukan. Jika dirawat awal komplikasi rhabdomyolisis boleh sembuh dan pesakit tidak perlu menjalani dialisis,” katanya.

Rawatan juga tertumpu kepada penyebab rhabdomyolysis. Contohnya, bagi yang berpunca daripada jangkitan bakteria, rawatan antibiotik diperlukan untuk memusnahkan bakteria terbabit.

Kaedah pencegahan
Bagi mencegah risiko rhabdomyolisis, pastikan tubuh mempunyai hidrasi yang cukup dengan minum air mencukupi dan tidak terdedah kepada suhu panas berpanjangan.

Dr. Fatimah Zahra berkata, senaman dilakukan juga perlu sesuai dengan tahap kecergasan individu dan peningkatan aktiviti kecergasan perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan berlaku kerosakan otot.

Seseorang juga perlu memantau gejala-gejala rhabdomyolisis seperti seperti lemah badan, sakit otot atau air kencing berubah warna kepada kuning seperti air teh O.

“Bila melakukan senaman spin atau berbasikal, elakkan daripada melakukan senaman itu dalam cuaca panas terik kerana berisiko mengalami strok haba. Minum air sepanjang aktiviti mengikut keperluan.

“Masalah dehidrasi dan kurang air dalam darah juga boleh mengurangkan kapasiti buah pinggang untuk membuang komponen dalam otot yang merbahaya dan seterusnya, meningkatkan risiko masalah buah pinggang akut,” katanya.

Pesannya, sekiranya rasa pening atau sukar bernafas ketika melakukan aktiviti berbasikal, hentikan kayuhan secara perlahan-lahan dan berhati-hati memperlahankan basikal supaya tidak terlalu mengejut.

Kanak-kanak berisiko
Rhabdomyolisis juga boleh berlaku ke atas kanak-kanak, bagaimanapun punca utamanya adalah akibat jangkitan kuman terutamanya jangkitan virus.

Pensyarah Perubatan Klinikal, Fakulti Perubatan dan Kesihatan PertahananUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Mohd Faizul Amer berkata, kajian dilakukan terhadap kanak-kanak di Korea, virus utama boleh

menyebabkan masalah rhabdomyolisys adalah virus influenza iaitu virus yang menyerang sistem pernafasan seperti hidung, tekak dan paru-paru. Penyakit ini disebabkan virus influenza A, B, dan C.

Mohd. Faizul Amer

“Kanak-kanak biasanya mempunyai gejala yang kurang ketara berbanding orang dewasa sebaliknya lebih kerap mengadu sakit otot.

“Justeru penting untuk ibu bapa segera membawa kanak-kanak yang mempunyai masalah sakit otot melampau berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut atau apabila mengalami gejala influenza,” katanya.

Antara tiga gejala utama (triad symptoms) rhabdomyolisis yang perlu diperhatikan adalah sakit otot, lemah badan dan air kencing berwarna gelap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×