WASHINGTON: Calon Presiden parti Republikan, Donald Trump mendakwa akan segera memecat peguam khas, Jack Smith yang membawa dua kes persekutuan terhadapnya, sekiranya beliau memenangi pilihan raya pada November ini.
Trump yang sedang menunggu hukuman atas tuduhan berasingan berkaitan bayaran ‘hush money’, dituduh oleh Smith berkomplot untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya 2020 yang dimenangi calon Demokrat, Joe Biden.
Kenyataan Trump yang menyasarkan Smith mendorong kempen lawannya, Kamala Harris, menuduh bekas presiden tersebut menganggap dirinya ‘kebal undang-undang’.
Peguam Trump turut memfailkan permohonan untuk menolak kes penipuan pilihan raya atas alasan Smith dilantik secara tidak sah, satu hujah yang mereka berjaya gunakan dalam kes lain terhadap Trump.
Trump didakwa di Florida atas tuduhan salah urus dokumen sulit selepas meninggalkan White House, namun kes tersebut ditolak oleh Hakim Daerah, Aileen Cannon yang dilantik Trump.
Trump sebelum ini mengancam untuk mendakwa musuh politiknya jika dipilih semula, sambil menambah beliau mungkin akan menggugurkan kes persekutuan terhadap dirinya sekiranya melantik Peguam Negara yang baharu.
Trump, 78, dijadualkan menghadapi perbicaraan bagi tuduhan penipuan pilihan raya pada Mac, namun kes tersebut digantung sementara peguamnya berhujah bahawa bekas presiden seharusnya kebal daripada pendakwaan jenayah.
Trump turut berdepan tuduhan konspirasi penipuan dan menghalang sesi rasmi Kongres untuk mengesahkan kemenangan Biden, yang diserang penyokong Trump pada 6 Januari 2021.
Di New York pada Mei lalu, Trump didapati bersalah atas 34 tuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menutup bayaran kepada bintang filem lucah, Stormy Daniels.
Beliau juga menghadapi tuduhan jenayah terancang di Georgia berkaitan usaha membatalkan keputusan Pilihan Raya 2020. -AFP










