KOLKATA: Taufan Dana menyebabkan pokok-pokok dan tiang elektrik tumbang di pantai timur India, dengan pihak berkuasa memberi amaran cuaca buruk lebih dahsyat bakal melanda.
Taufan yang setara dengan angin ribut di Atlantik Utara atau taufan di Barat Laut Pasifik sering kali mendatangkan ancaman maut di utara Lautan Hindi.
Lebih 1.1 juta orang di Odisha dan Bengal Barat dipindahkan ke pusat perlindungan sebelum taufan tersebut mencecah pantai selepas tengah malam.
Pegawai daerah, Siddarth Swain, memberitahu AFP taufan tersebut menyebabkan banyak kemusnahan di bandar pesisir Puri.
“Banyak pokok dan tiang elektrik tumbang manakala kedai di kawasan pantai musnah diterbangkan angin,” katanya.
Dana menyebabkan beberapa kawasan pesisir ditenggelami air dengan paras laut meningkat sehingga 1.15 meter.
Angin bertiup dengan kelajuan sehingga 120 kilometer sejam ketika taufan itu mendarat, menurut jururamal Biro Cuaca yang berpangkalan di Kolkata, Somenath Dutta.
Lapangan terbang utama di Kolkata, bandar ketiga terbesar di India ditutup sejak malam Khamis ekoran hujan lebat.
Para saintis memberi amaran perubahan iklim yang berpunca daripada pembakaran bahan api fosil menyebabkan lautan lebih panas, yang menguatkan ribut taufan.
Pada Mei lalu, Taufan Remal mengorbankan sekurang-kurangnya 48 orang di India dan 17 orang di Bangladesh, menurut angka rasmi kerajaan. -AGENSI










