WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendedahkan seramai 3,000 tentera Korea Utara kini sedang menjalani latihan di Russia yang berisiko menjadi sasaran jika terlibat dalam pertempuran di Ukraine.
Penempatan itu mendorong amaran daripada Kyiv dan penyokong Baratnya, yang secara berasingan memaklumkan akan memastikan pinjaman sebanyak AS$50 bilion (RM217.56 bilion) untuk membantu Ukraine menggunakan keuntungan daripada faedah ke atas aset Russia yang dibekukan.
“Kami menilai antara awal hingga pertengahan Oktober, Korea Utara memindahkan sekurang-kurangnya 3,000 askar ke timur Russia.
“Tentera mengembara dengan kapal dari Korea Utara ke Vladivostok dan kemudian pergi ke pelbagai tapak latihan ketenteraan Russia untuk menjalani latihan.
“Kami belum tahu sama ada tentera ini akan menyertai pertempuran bersama tentera Russia.
“Tetapi jika benar askar Korea Utara ini memutuskan untuk menyertai perjuangan menentang Ukraine, mereka akan menjadi sasaran tentera yang sah,” kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby kepada wartawan.
Media Korea Utara tidak mengulas mengenai laporan itu dan Moscow juga enggan mengesahkan atau menafikannya.
Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova memberitahu wartawan untuk bertanya kepada Pyongyang mengenai keberadaan tenteranya.
Seoul berkata, Pyongyang merancang untuk mengerahkan 10,000 tentera ke Russia menjelang Disember depan, sekaligus meningkatkan kebimbangan antarabangsa berhubung pakatan yang semakin akrab antara dua sekutu itu.
Rabu lalu, Jerman memanggil duta Korea Utara untuk memberi amaran kepada negara tertutup itu daripada menghantar tentera.
“Sokongan Korea Utara terhadap perang pencerobohan Russia secara langsung mengancam keselamatan Jerman dan keamanan Eropah,” kata kementerian luar Jerman di platform media sosial X.
Semalam, Kyiv turut menggesa mana-mana tentera Korea Utara yang dikerahkan oleh Russia untuk meletakkan senjata dan menyelamatkan nyawa mereka.
“Kami berbicara kepada pejuang Tentera Rakyat Korea yang dihantar untuk membantu rejim Putin. Anda tidak boleh ‘mati katak’ di negara asing.
“Anda tidak boleh mengulangi nasib ratusan ribu askar Russia yang tidak akan pulang ke rumah,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan yang dikendalikan oleh perisikan tentera Kyiv.
Korea Selatan dilaporkan akan menghantar delegasi ke ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels minggu depan untuk memberi taklimat kepada perikatan mengenai situasi itu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut merayu agar sekutu Kyiv bertindak balas dan berulang kali berkata, penempatan tentera Korea Utara berisiko memanjangkan lagi perang.
Pakar berkata, sebagai balasan kepada kerahan tentera, Korea Utara berkemungkinan menyasarkan untuk memperoleh teknologi ketenteraan, daripada satelit pengawasan hingga kapal selam, serta kemungkinan jaminan keselamatan dari Moscow.
KOREA UTARA RAIH MANFAAT
Bekas Pengarah Operasi di Pusat Perisikan Bersama Komando Pasifik AS, Carl Schuster berkata, rejim Korea Utara akan mendapat banyak keuntungan dengan mengerahkan tentera, termasuk memberikan pengalaman medan perang dan latihan teknikal kepada tenteranya.
Jelasnya, susunan itu juga boleh membantu Korea Utara mendapat risikan dunia sebenar mengenai fungsi persenjataannya.
“Pasukan khas akan kembali dengan pengalaman medan perang secara langsung serta pengalaman penyusupan secara langsung terhadap pihak lawan. Itu menjadikan mereka lebih berbahaya.
“Saya fikir Kim Jong Un menyediakan tenteranya untuk mendapatkan sumber yang diperlukan bagi mengekalkan rejim dan pengalaman yang diperolehi yang boleh digunakan sekiranya berlaku konflik akan datang di negaranya sendiri,” katanya.
Bekas Leftenan Jeneral Tentera Korea Selatan, Chun In-bum memberitahu CNN, Russia akan mendapat rangsangan tenaga kerja, manakala, Korea Utara akan mendapat ‘wang, teknologi dan pengalaman.
Katanya, individu yang dikerahkan akan menjadi pasukan ‘elit’ khas dan bukan tentera konvensional.
“Jika mereka berjaya, mereka bukan sahaja mendapat pengalaman pertempuran secara langsung, malah pengiktirafan antarabangsa. Jadi, ini boleh menjadi masalah serius bagi seluruh dunia.
“Bagaimana jika orang Korea Utara menjadikan ia sebagai tabiat? Bagaimana jika mereka menjadi pangkalan untuk membekalkan tentera yang terlatih? Potensi penempatan ini sepatutnya sangat membimbangkan,” katanya. -AFP/CNN











