TAIPEI: Kapal perang Amerika Syarikat (AS) dan Kanada belayar bersama melalui Selat Taiwan, kurang seminggu selepas China menjalankan pusingan baharu permainan perang di sekitar pulau itu.
Armada ke-7 Tentera Laut AS berkata, kapal pemusnah USS Higgins dan kapal frigat Kanada HMCS Vancouver melakukan transit rutin kelmarin melalui perairan dengan kebebasan pelayaran dan penerbangan laut lepas terpakai mengikut undang-undang antarabangsa.
“Transit itu menunjukkan komitmen AS dan Kanada untuk menegakkan kebebasan pelayaran bagi semua negara. Hak dan kebebasan pelayaran masyarakat antarabangsa di Selat Taiwan tidak seharusnya dihadkan.
“AS menolak sebarang penegasan kedaulatan atau bidang kuasa yang tidak konsisten dengan kebebasan pelayaran, penerbangan dan penggunaan lain yang sah di laut mahu pun udara,” katanya.
Komando Teater Timur China berkata, pasukannya memantau dan memberi amaran kepada kapal-kapal itu.
“Tindakan AS dan Kanada menyebabkan masalah dan mengganggu keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan,” tambahnya.
China melancarkan permainan perang, Isnin lalu, yang dikatakan sebagai amaran kepada tindakan pemisah hingga mendapat kecaman daripada kerajaan Taiwan dan AS.
Tentera Laut AS dan Kanada kali terakhir melayari misi bersama sedemikian pada November tahun lalu.
China mendakwa mempunyai bidang kuasa ke atas laluan air selebar hampir 180 kilometer itu yang merupakan laluan utama perdagangan antarabangsa.
Taiwan dan AS mempertikaikannya, kerana mengatakan Selat Taiwan adalah laluan air antarabangsa.
Kerajaan Taiwan menolak dakwaan kedaulatan Beijing dengan mengatakan hanya penduduk pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.-REUTERS











