DHAKA: Banjir di Bangladesh memusnahkan kira-kira 1.1 juta metrik tan beras, menurut data daripada Kementerian Pertanian.
Situasi itu mendorong pihak kerajaan untuk meningkatkan import bijirin ruji tersebut ketika lonjakan harga makanan.
Banjir yang disebabkan oleh hujan monsun lebat dan limpahan air dari hulu melanda negara itu dalam dua gelombang utama pada Ogos dan Oktober lalu, meragut sekurang-kurangnya 75 nyawa dan memberi kesan kepada jutaan orang, terutama di wilayah timur dan utara dengan kerosakan tanaman paling teruk.
Kementerian Pertanian berkata, banjir tahun ini telah mengakibatkan kerugian besar dalam pengeluaran beras.
Sebagai tindak balas, kerajaan sedang bertindak cepat untuk mengimport 500,000 tan beras dan dijangka membenarkan import dari sektor swasta tidak lama lagi, menurut seorang pegawai kementerian makanan.
Kerajaan sementara, yang dipimpin oleh Muhammad Yunus mengambil alih kuasa pada Ogos lalu, berusaha untuk menstabilkan harga makanan yang telah meningkat hampir 20 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Peningkatan import oleh Bangladesh boleh meningkatkan pengiriman dari India yang merupakan pengeksport beras terkemuka di dunia, yang bulan lalu mengurangkan duti eksport beras kepada 10 peratus.
Banjir juga memberi impak teruk kepada produk pertanian lain, termasuk lebih 200,000 tan sayur-sayuran.
Jumlah kerugian pertanian di seluruh negara akibat banjir dianggarkan sekitar 45 bilion taka (AS$380 juta).
Bangladesh, pengeluar beras ketiga terbesar di dunia, biasanya menghasilkan hampir 40 juta tan beras setahun untuk memberi makan kepada populasi 170 juta.
Analisis Institut Bank Dunia pada 2015 menganggarkan 3.5 juta orang di Bangladesh berisiko mengalami banjir setiap tahun.
Menurut saintis, ia adalah risiko yang semakin memburuk akibat perubahan iklim global. – AGENSI











