PEMBENTANGAN Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada 18 Oktober, membuktikan komitmen kerajaan untuk membina sebuah tatanan ekonomi yang mampan, berdaya saing dan inklusif.
Belanjawan ini adalah cerminan falsafah ekonomi yang kukuh, menggabungkan kebijaksanaan dari pelbagai tradisi ilmu dengan prinsip-prinsip tatakelola yang baik.
Belanjawan 2025 diasaskan kepada prinsip-prinsip kemanusiaan dan keadilan sosial yang mendalam. Perdana Menteri merujuk kepada Firman Allah dalam Surah Al-Balad, yang menekankan pentingnya membantu golongan yang memerlukan, termasuk anak yatim dan orang miskin. Ini mencerminkan niat kerajaan untuk memastikan bahawa kekayaan negara diagihkan dengan adil kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, seperti yang diperjuangkan dalam belanjawan ini.
Selain itu, kenyataan Aristotle dalam Etika Nicomachus yang berbunyi “the virtue of wealth is not to have it but to use it rightly,” memberikan landasan kepada falsafah ekonomi ini. Kekayaan bukanlah untuk dinikmati oleh segelintir golongan, tetapi untuk digunakan dengan bijaksana demi manfaat bersama. Pendekatan penyasaran subsidi khususnya adalah langkah tepat untuk memastikan sumber negara digunakan dengan lebih efisien dan tidak membazir.
Kenyataan Marcus Tullius Cicero yang dipetik oleh Perdana Menteri berbunyi “prosperity demands of us more prudence and moderation than adversity” pula mengingatkan kita bahawa dalam keadaan makmur, kewaspadaan dan pengurusan bijak lebih diperlukan. Ini sejajar dengan langkah kerajaan yang menekankan kepentingan berhemah dalam perbelanjaan negara dan usaha mengekang ketirisan, terutamanya melalui reformasi fiskal dan penambahbaikan subsidi.
Turut dijadikan asas kepada Belanjawan 2025 ialah kata-kata Confucius berbunyi “Jika berlaku kesilapan, dan tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar”. Kerajaan mengakui bahawa pendekatan subsidi pukal yang diamalkan sebelum ini adalah satu kesilapan yang telah mengakibatkan ketirisan besar. Belanjawan ini membetulkan kesilapan tersebut dengan memperkenalkan penyasaran subsidi yang lebih adil dan tepat sasaran, mengelakkan manfaat sampai kepada golongan maha kaya dan pihak-pihak yang tidak layak.
Seterusnya, kata-kata dalam Thirukural yang berbunyi “tanggungjawab pemimpin dan kerajaan ialah membangun negara yang bebas dari kemiskinan, wabak penyakit, dan musuh yang membinasakan” turut dijadikan asas dalam Belanjawan 2025. Ini menekankan peranan kerajaan dalam memastikan keselamatan sosial dan kesejahteraan ekonomi rakyat, yang mana Belanjawan 2025 menzahirkan hasrat ini dengan penambahan besar dalam bantuan kewangan dan sokongan sosial kepada golongan miskin dan terpinggir.
Belanjawan 2025 juga bukan sekadar hasil daripada analisis ekonomi semata-mata, tetapi turut dibina atas dasar pertemuan secara langsung dengan rakyat. Perdana Menteri sendiri telah turun ke akar umbi untuk mendengar rintihan rakyat di seluruh negara, termasuk di Felda Lahad Datu, Sabah; Kapit, Sarawak; Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu; dan Alor Setar, Kedah. Melalui kunjungan-kunjungan ini, Perdana Menteri dapat memahami secara lebih mendalam isu-isu yang dihadapi oleh rakyat seperti hakisan, banjir, kekurangan perkhidmatan kesihatan serta cabaran pendidikan. Libat urus yang meluas ini menjadikan Belanjawan 2025 lebih menyeluruh dan berasaskan realiti kehidupan rakyat.
Belanjawan ini jelas menunjukkan keutamaan kerajaan dalam membela nasib rakyat marhaen. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah konkrit dalam memastikan pemulihan ekonomi yang adil serta pengagihan kekayaan yang lebih saksama. Pelaksanaan penyasaran subsidi, khususnya untuk diesel yang akan diikuti oleh petrol RON95, adalah satu contoh bagaimana kerajaan memastikan hanya golongan yang memerlukan menerima bantuan.
Penyasaran subsidi diesel yang membawa penjimatan sehingga RM4 bilion setahun membuktikan keberkesanan dasar ini dalam mengekang ketirisan yang selama ini berlaku akibat penyeludupan dan penyalahgunaan oleh sektor yang tidak layak. Selain itu, penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diperkenalkan pada pertengahan 2025 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM8 bilion yang akan disalurkan semula kepada sektor pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
Penyasaran subsidi petrol RON95 serta kenaikan yuran pendidikan kepada T15 dan tambahan bayaran perkhidmatan di hospital-hospital kesihatan awam kepada T15 adalah langkah yang baik kerana ia akan memastikan bahawa golongan yang mampu menyumbang lebih kepada negara dapat berbuat demikian, membolehkan dana yang dijimatkan disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan.
Perluasan hasil cukai secara progresif juga tidak akan membebankan rakyat marhaen, tetapi akan memastikan golongan maha kaya dan mereka yang layak membayar cukai menyumbang kepada pembangunan negara. Sebagai contoh, Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas manakala perkhidmatan komersial juga akan dikenakan cukai. Langkah ini akan membantu menambah hasil negara tanpa membebankan rakyat biasa.
Bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah terus dibantu, kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan peruntukan terbesar dalam sejarah sebanyak RM13 bilion. Bagi menangani rungutan tentang kos sara hidup, kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM2.9 bilion.
Belanjawan 2025 adalah satu belanjawan yang mengimbangi antara falsafah ekonomi yang kukuh dan keperluan praktikal rakyat. Ia memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terbela sambil mengekalkan disiplin fiskal yang ketat.
Melalui Belanjawan 2025, kita dapat melihat bahawa kerajaan telah bersedia untuk menghadapi cabaran ekonomi masa depan dengan berhemah, bijaksana dan bertanggungjawab. Belanjawan ini adalah bukti bahawa kerajaan Madani benar-benar bertekad untuk membangunkan negara yang inklusif, adil dan makmur bagi semua lapisan masyarakat.
Dengan ini diharapkan semoga sekali lagi semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik akan memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2025 seperti mereka memberi sokongan padu kepada Rang Undang-Undang Kewarganegaraan pada 17 Oktober lalu. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).










