Kereta api langgar gajah liar di Sri Lanka, dua mati

Kereta api langgar gajah liar di Sri Lanka, dua mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Sebuah kereta api yang membawa beribu-ribu gelen bahan api merempuh sekumpulan gajah liar di timur laut Sri Lanka, mengorbankan dua ekor mamalia gergasi itu dan satu lagi cedera.

Menurut pihak berkuasa, kemalangan itu turut mengakibatkan dua kapal tangkinya tergelincir.

Kemalangan berlaku di pekan Minneriya, 200 kilometer dari ibu negara, Colombo yang terkenal dengan taman semula jadi dan hidupan liar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemandu kereta api, N.W Jayalath memberitahu The Associated Press, kumpulan kira-kira 20 ekor gajah secara tiba-tiba cuba melintas landasan pada Jumaat lalu.

“Kami hanya berjarak kira-kira 10 meter. Kami tidak dapat berbuat apa-apa. Brek telah ditekan pada tahap maksimum, namun tiada apa yang mampu dilakukan. Sekurang-kurangnya empat ekor gajah dilanggar,” katanya.

Kereta api itu terdiri daripada lapan gerabak tangki, lima membawa diesel dan tiga lagi petrol, masing-masing dengan kapasiti 50,000 liter.

Menurut Jayalath, dua daripada gerabak petrol telah tergelincir, menyebabkan kebocoran besar dan kerosakan teruk pada landasan kereta api, memaksa pihak berkuasa menangguhkan perkhidmatan kereta api di laluan itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan empat kakitangan kereta api yang berada di dalamnya.

Pegawai publisiti jabatan hidupan liar, Hasini Sarathchandra berkata, dua ekor gajah mati di tempat kejadian manakala seekor lagi yang cedera telah dirawat dan dilepaskan semula kepada kawanannya.

Kes-kes perlanggaran gajah dan kereta api telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Sri Lanka, di mana gajah liar cuba melintas landasan untuk mencari makanan dan air.

Menurut statistik kerajaan, tujuh ekor gajah telah mati tahun ini akibat dilanggar kereta api, manakala 24 ekor mati pada tahun 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini