KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diperuntukkan RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM58.7 bilion tahun ini dalam usaha menjadikan ruang pembelajaran selesa dan selamat kepada semua pelajar.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan memberikan peruntukan tertinggi dalam sejarah itu adalah bagi memastikan setiap projek menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara berjalan tanpa gangguan.
Menurutnya, RM2 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu dengan RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur manakala RM1 bilion lagi bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
SEKOLAH BAHARU
Selain itu, kata beliau, sebanyak 44 sekolah baharu akan mula dibina tahun hadapan, antaranya di Bandar Putra Indah, Batu Pahat, Johor; Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat; Lok Kawi, Putatan, Sabah; Semeling, Sungai Petani dan Dudong, Sibu, Sarawak.
“Bagi memastikan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar dengan peruntukan RM100 juta.
“Projek Point of Presence (POP) sedia ada juga diteruskan dengan peruntukan lebih RM800 juta,’’ katanya.
Perdana Menteri menambah, tandas di lebih 8,300 sekolah sudah dinaik taraf dan usaha seterusnya ialah untuk membaik pulih kemudahan lain seperti kantin dan surau dengan peruntukan RM100 juta.
BANTUAN
Dalam pada itu, Anwar berkata, 17 jenis bantuan pendidikan akan diteruskan tahun dengan peruntukan RM5.3 bilion termasuk bantuan makanan asrama (RM2 bilion), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) RM870 juta manakala RM800 juta ringgit Bantuan Awal Persekolahan kepada semua 5.2 juta murid tahun 1 hingga tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa diteruskan.
Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ditingkatkan kepada RM180 juta manakala bagi meningkatkan akses pendidikan pelajar dari keluarga susah, kerajaan bersetuju bayaran gaji atau upah kepada tenaga pengajar oleh institusi dan organisasi dengan objektif pendidikan dibenarkan sebagai perbelanjaan Kebajikan di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Beliau berkata, kadar Geran Per Kapita (PCG) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tidak disemak sejak 22 tahun lalu akan ditingkatkan 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.
“Peruntukan khas RM10 juta juga disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada semua 687 sekolah pedalaman.
“Selanjutnya, kerajaan bersetuju Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada RM530 ketimbang RM430 ketika ini,’’ katanya. – UTUSAN










