Ekosistem Cameron Highland berdepan risiko kerosakan - Utusan Malaysia

Ekosistem Cameron Highland berdepan risiko kerosakan

PEMANDANGAN udara Hutan Mossy di Gunung Brinchang yang terlibat dalam projek pembangunan hartanah dibimbangi menjejaskan ekosistem di Cameron Highlands. - IHSAN REACH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cadangan pembangunan projek komersial menerusi kerjasama yang dimeterai antara Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan sebuah syarikat hartanah terkemuka baru-baru ini, dibimbangi merosakkan ekosistem di tanah tinggi itu.

Difahamkan, projek pembangunan yang dicadangkan itu merangkumi projek hartanah seperti kediaman dan komersial termasuk pangsapuri perkhidmatan, kedai runcit dan unit kediaman mengunjur dari kawasan Brinchang ke sempadan Kea Farm.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, pihaknya tidak menentang pembangunan yang hendak dibawa di tanah tinggi itu.

Katanya, namun apa yang menghairankan apakah prosedur untuk kelulusan perjanjian usahasama pembangunan dengan syarikat hartanah itu dilakukan dengan betul terutama apabila kawasan Hutan Mossy di sini turut terlibat dalam pembangunan yang dibina.

“Apakah Laporan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dibuat terlebih dahulu. Apakah pernilaian risiko dan analisis risiko dibuat sebelum kelulusan?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, kelulusan yang diberikan kepada syarikat berkenaan bercanggah dengan Seksyen 18 (1)Akta Perancangan Bandar & Desa 1976 yang menyatakan tiada seorang pun boleh menggunakan atau membangunkan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut Rancangan Tempatan.

“Di peta cadangan guna tanah Cameron Highlands 2030 dan di dalam peta cadangan guna tanah BP 1.0 (Brinchang- Tanah Rata) di Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH) 2030 yang sudah diwartakan, kawasan ini tetap kawasan hutan dan tiada pembangunan ditunjukkan.

“Jadi mengapa MDCH (Majlis Daerah Cameron Highlands) meluluskan perjanjian usahasama ini yang bercanggah dengan RTDCH 2030 (penggantian) yang diterbitkan oleh MDCH sendiri?,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×