Pembangunan ancam Hutan Mossy - Utusan Malaysia

Pembangunan ancam Hutan Mossy

HUTAN berlumut di Hutan Mossy, Cameron Highlands yang masih terpulihara namun keadaannya mungkin berubah jika projek pembangunan dilaksanakan di situ. - IHSAN REACH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hutan Mossy di Gunung Brinchang, Cameron Highlands bakal terjejas dan hilang daya tarikannya berikutan cadangan pelaksanaan sebuah projek hartanah yang didakwa turut melibatkan kawasan terkenal dengan keindahan hutan berlumut itu.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, beliau difahamkan pembangunan hartanah yang dicadangkan itu melibatkan tanah Hutan Mossy seluas 20.8 hektar.

Katanya, pembangunan di Hutan Mossy adalah sebahagian daripada projek komersial itu dilaksanakan tidak lama lagi selepas perjanjian antara Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan sebuah syarikat hartanah terkemuka di negara ini.

“Kami bimbang pembangunan yang dirancang itu yang melibatkan di kawasan di Hutan Mossy berisiko menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat jika kawasan hutan itu diganggu.

“Kawasan Hutan Mossy yang terlibat dalam projek pembangunan mempunyai lereng yang kecerunannya lebih daripada 35 darjah. Ketinggiannya lebih dari 1,500 meter dari paras laut dan ia berada di Mukim Tanah Rata yang mencatat kejadian bencana alam yang tertinggi di Cameron Highlands,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Martin, Hutan Mossy dikategorikan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 yang mana tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan.

“Jadi mengapa perjanjian usahasama bagi pembangunan tanah ini diluluskan?Kelulusan ini bercanggah dengan Seksyen 18 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menyatakan bahawa ‘tiada seorang pun boleh menggunakan atau membangunkan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut Rancangan Tempatan’,” katanya.

Menurutnya, pembangunan yang dirancang akan merosakkan produk pelancongan di Hutan Mossy yang begitu mempesonakan dengan keindahan flora dan fauna serta lumut-lumut hijau yang hidup menumpang di atas tanah serta dahan-dahan pokok.

Dilip turut menyatakan kebimbangan pembangunan di kawasan Hutan Mossy akan merosakkan Sungai Burung yang terletak di tepi kawasan yang hendak dibangunkan.

“Sungai Burung adalah antara sungai kelas 1-II di Cameron Highlands dan pernah menjadi sungai yang membekalkan air untuk Loji Sungai Burung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×