KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti isu tenaga kerja dalam sektor kesihatan awam termasuk isu berkenaan syif doktor yang didakwa diarah bekerja on-call hingga melebihi 30 jam.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad percaya isu doktor bekerja lebih masa itu tidak belaku secara meluas di semua hospital awam.
Bagaimanapun, menurut beliau, KKM akan mengenal pasti kekurangan yang wujud dalam sistem tenaga kerja pegawai perubatan itu.
“Kementerian kini giat meneliti semua permintaan bekalan penggunaan tenaga kerja dan dalam rangka kerja tersebut, kami akan dapat menangani isu tertentu seperti itu.
“Masalah berkenaan tidak berlaku di semua tempat, sebab itu kementerian perlu memahami jurangnya dan memahami di mana kekurangannya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Bencana Bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Peringkat KKM Tahun 2024 di sini, semalam.
Terdahulu, sekumpulan doktor menggesa KKM mengurangkan syif di luar waktu pejabat kerana tempoh bekerja yang dilakukan oleh golongan tersebut disifatkan seperti tidak berperikemanusiaan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, waktu syif atas panggilan itu perlu berperikemanusiaan walaupun ia bergantung kepada bilangan doktor yang ada di sesebuah jabatan.
Jelasnya, tempoh kerja yang melampau itu menyebabkan kemerosotan terhadap kualiti penjagaan pesakit dan sepatutnya jika seorang doktor sudah berkhidmat sehingga 24 jam maka perlu diberi rehat pada keesokannya.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, KKM melancarkan lima Garis Panduan Pengurusan dan Kesiapsiagaan Bencana bagi memastikan negara sentiasa bersedia dengan sebarang bencana.
Jelasnya, garis panduan tersebut juga bagi membina kapasiti dan keupayaan yang lebih baik untuk memperntingkatkan kesiapsiagaan negara berhadapan bencana.
“Objektifnya adalah untuk menyediakan negara berdepan dengan apa juga kemungkinan berlakunya bencana sama ada sifatnya itu adalah bencana-bencana yang kita selalu tahu banjir dan pastinya pelbagai penyakit dan juga tanah runtuh.
“Tapi yang kita hendak juga tekankan bencana-bencana seumpama bencana kimia dan juga penyakit berjangkit seumpama yang kita baru lalui Covid-19.
“Jadi kesemua ini adalah sangat mustahak untuk sebuah negara sentiasa dalam keadaan siap siaga yang tinggi untuk kekal berjaga-jaga, tangkas dan teguh,” katanya.
Tambahnya, garis panduan itu akan berfungsi sebagai prosedur mobilisasi sumber manusia di KKM bagi memastikan tindak balas pantas dan berkesan semasa kecemasan kesihatan awam.
Penyediaan garis panduan yang komprehensif dan sistematik dalam pengurusan bencana adalah langkah penting untuk memastikan kesiapsiagaan, respons pantas, dan pemulihan yang berkesan semasa dan selepas kejadian bencana.
“Kelima-limanya sudah diuji dalam beberapa simulasi di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan rantau ASEAN serta ditambah baik dari semasa ke semasa melalui sesi ‘After Action Review’,” jelasnya.
Garis panduan pertama merupakan Pelan Pengurusan Bencana Peringkat KKM 2024, sebagai dasar dan mekanisme pengurusan bencana yang menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa, dan selepas sesuatu kejadian bencana.
Garis panduan kedua, Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Prosedur Operasi Standard 2024 sebagai bahan rujukan untuk kakitangan di CPRC atau Bilik Gerakan untuk menguruskan kejadian bencana, wabak, krisis dan kecemasan.
Ketiga ialah kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) untuk Garis Panduan Pengurusan 2024 yang bertindak sebagai panduan langkah-langkah yang perlu diambil oleh petugas kesihatan dalam menangani insiden melibatkan lima bahan berkenaan.
Garis panduan keempat pula untuk Pasukan Penilaian Pantas (RAT) dan Pasukan Tindak Pantas (RRT) 2024 dalam situasi krisis kesihatan.
Garis panduan kelima ialah Garis Panduan Mobilisasi Sumber Manusia Semasa Kecemasan Kesihatan Awam 2024. – UTUSAN










