KUALA LUMPUR: “Maaf, dia tidak mahu komen.”
Demikian kata pengurus kepada pelakon jelita, Alya Iman, Nik Yasmin selepas aktres itu dikecam kerana memakai pakaian yang dikatakan terlampau seksi ketika menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), Jumaat lalu.
Menurut Yasmin, Alya memilih untuk mengunci mulut dan enggan memanjangkan isu tersebut memandangkan sudah faham dengan kelantangan netizen dalam memberi komen atau kritikan terhadap sesetengah isu.
“Kalau dia jawab nanti lagi dia dikecam. Dia tanya juga sama ada perlu atau tidak memberi respon tentang kecaman itu. Tapi, pada saya tidak perlu kerana orang akan kata kita menegakkan benang yang basah.
“Kalau kita cakap A, dia cakap B. Mereka ini bijak berkata-kata. Kalau mereka tidak suka, tetap tidak suka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, pengurus kepada pelakon Layang-Layang Perkahwinan itu berkata, dia tetap akan menegur artis-artis di bawah jagaannya sekiranya berpakaian yang keterlaluan demi menjaga reputasi mereka.
“Sebagai pengurus, saya tidak benarkan mereka untuk pakai sembarangan. Saya akan teliti dulu. Kalau ikutkan pakaian asalnya lebih seksi dan terdedah. Kalau dia berpakaian terdedah, saya pun akan tegur dia.
“Takkan saya nak bagi pakai pakaian yang merepek. Bagi saya, pakaian dia itu juga tidaklah keterlaluan,” tegasnya.
Ditanyakan mengenai reaksi Alya selepas berdepan dengan kecaman tersebut, Yasmin mendedahkan pelakon wanita itu berasa sedih dengan situasi yang berlaku lebih-lebih lagi ada pihak yang mengaitkan ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.
“Sejujurnya, Alya agak sedih apabila dikecam sebegitu. Menyedari perkara itu, dia terus tanya saya mengenai penampilannya.
“Alya seorang yang terbuka apabila dikecam. Tetapi, dia akan sedih apabila melibatkan arwah ibu bapanya. Dia sedih bila netizen kurang sensitif dengan situasi. Tidak perlu kaitkan orang tua dia yang sudah meninggal dunia,” ujarnya.
Terdahulu, Alya yang hadir ke malam kemuncak ABP36 telah mengenakan gaun hitam polos yang dipercayai bahagian dadanya sedikit terdedah ketika tiba di karpet merah acara tersebut sekaligus mengundang pelbagai reaksi netizen. – UTUSAN











