BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak idea gencatan senjata di Lubnan, yang akan membiarkan Hezbollah berada dekat dengan sempadan negaranya, ketika kumpulan itu mengancam untuk meluaskan serangan.
Kenyataan Netanyahu dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan berhubung pengendalian peperangan Israel di Lubnan dan Gaza, termasuk mengkritik pengeboman di Beirut serta menuntut lebih banyak bantuan sampai ke wilayah Palestin.
Menerusi panggilan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Netanyahu menegaskan pihaknya menentang gencatan senjata sebelah pihak, yang tidak akan mengubah keadaan keselamatan di Lubnan dan hanya mengembalikan keadaan kepada asal.
Netanyahu dan tentera Israel berulang kali menegaskan kewujudan zon penampan di sepanjang sempadan dengan Lubnan, tanpa kehadiran pejuang Hezbollah.
“Netanyahu menjelaskan Israel tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian yang tidak menyediakan zon penampan ini kerana tidak akan menghentikan Hezbollah daripada membina keupayaan dan menyusun kekuatan,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.
Dalam ucapan di televisyen sebelum ini, Timbalan Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem menegaskan, satu-satunya penyelesaian adalah gencatan senjata, namun pada masa sama, turut mengancam untuk memperluaskan serangan peluru berpandu ke seluruh Israel.
“Oleh kerana musuh Israel menyasarkan seluruh Lubnan, kami berhak dari sudut pertahanan untuk menyasarkan mana-mana tempat di Israel,” katanya.
PERTEMPURAN BERLANJUTAN
Siri pertempuran dua pihak itu masih berlanjutan apabila Hezbollah mendakwa melancarkan serangan roket ke arah bandar Haifa dan menyasarkan jentolak serta sebuah kereta kebal Israel berhampiran sempadan.
Tentera Israel turut mengebom beberapa kawasan di selatan dan timur Lubnan kelmarin, termasuk di Lembah Bekaa, dengan sebuah hospital di bandar Baalbek tidak lagi berfungsi, lapor Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Pasukan rejim juga mendakwa menawan tiga pejuang Hezbollah di selatan Lubnan.
Serangan tanpa henti Israel khususnya terhadap bangunan kediaman di pusat Beirut pada 10 Oktober lalu, mencetuskan kritikan terbuka daripada sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
“Kami sudah menjelaskan AS menentang kempen itu sebagaimana yang dilaksanakan dalam beberapa minggu lepas di Beirut,” kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller.
Israel secara mendadak meningkatkan kempen udaranya terhadap Hezbollah di Lubnan sejak 23 September lalu dan kemudian melancarkan serangan darat seminggu kemudian.
Perang di Lubnan mengorbankan 1,356 nyawa di Lubnan sejak Israel meningkatkan pengeboman bulan lalu, dan menyebabkan sekurang-kurangnya 690,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Israel juga sedang mempertimbangkan strategi untuk bertindak balas terhadap tindakan Iran melancarkan sekitar 200 peluru berpandu ke arah negara itu pada 1 Oktober lalu.
Pejabat Netanyahu mendakwa, Israel akan menentukan langkah yang sewajarnya untuk membalas dendam kepada Iran.
“Kami mendengar pendapat AS, tetapi kami akan membuat keputusan akhir berdasarkan kepentingan negara kami,” kata kenyataan itu.
Serangan Teheran adalah tindak balas terhadap kekejaman Israel Beirut yang mengorbankan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah dan Jeneral Iran, Abbas Nilforoushan, 27 September lalu.– AFP










