Netanyahu jangan lupa Israel wujud hasil resolusi PBB - Macron

Netanyahu jangan lupa Israel wujud hasil resolusi PBB – Macron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak sepatutnya lupa mengenai negaranya diwujudkan hasil daripada resolusi yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Israel untuk mematuhi sebarang keputusan yang ditetapkan organisasi antarabangsa itu.

“Netanyahu tidak sepatutnya lupa negaranya diwujudkan oleh keputusan PBB.

“Oleh itu, ini bukan masanya untuk mengabaikan keputusan PBB,” katanya dalam mesyuarat mingguan Kabinet Perancis, kelmarin.

Macron dipercayai merujuk kepada resolusi pada November 1947 oleh Perhimpunan Agung PBB mengenai rancangan untuk membahagikan Palestin kepada sebuah negara Yahudi dan negara Arab.

Kenyataan beliau dalam mesyuarat tertutup di Istana Elysee itu dipetik oleh seorang individu yang terlibat kepada AFP dan meminta namanya tidak didedahkan.

Netanyahu kemudiannya membidas kenyataan pemimpin Perancis itu dan menegaskan penubuhan negara Israel bukan melalui keputusan PBB, sebaliknya menerusi Perang Arab-Israel 1948.

“Sebagai peringatan kepada Presiden Perancis, negara Israel tidak diasaskan oleh resolusi PBB tetapi kemenangan yang dicapai dalam perang kemerdekaan dengan darah pejuang-pejuang berani.

“Ramai di antara mereka adalah mangsa terselamat Holocaust, termasuk dari rejim Vichy di Perancis,” kata Netanyahu dalam kenyataan. 

Ketegangan meningkat antara Netanyahu dan Macron dengan pemimpin Perancis minggu lalu, menegaskan untuk menghentikan eksport senjata yang digunakan oleh Israel di Gaza serta Lubnan adalah satu-satunya cara untuk mengakhiri konflik.

Paris juga berulang kali mengecam tembakan Israel terhadap pasukan pengaman PBB (UNIFIL) di selatan Lubnan, termasuk kontinjen Perancis.

Ahad lalu, Netanyahu menggesa PBB untuk memindahkan 10,000 anggota pasukan pengaman, termasuk 700 tentera Perancis yang ditempatkan di selatan Lubnan bagi mengelakkan bahaya.

Pemimpin ekstremis Israel itu turut menuduh Hezbollah menggunakan pasukan UNIFIL sebagai ‘perisai manusia’.– AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×