Serbu stor dadah RM49.17j, penganggur ditahan polis

Stor dengan dadah RM49.17j diserbu, penganggur ditahan

KHAW Kok Chin (lima dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas Salor dalam sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSANKAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Taktik seorang penganggur menjadikan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor di sini sebagai ‘stor’ penyimpanan dadah bernilai RM49.17 juta terbongkar selepas diserbu sepasukan anggota polis, minggu lalu. 

Serbuan pukul 9.05 malam itu membawa kepada rampasan pil kuda dan heroin terbesar di negara ini selain menahan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pemeriksaan di bahagian tengah rumah itu membawa kepada penemuan bungkusan-bungkusan berisi pil kuda seberat lebih 652 kilogram (kg). 

“Selain itu, kita turut menjumpai heroin seberat 2.6kg. Siasatan mendapati suspek sudah menjadikan rumah tersebut sebagai stor untuk menyimpan dadah-dadah tersebut sejak Jun lalu, namun sudah menyewa rumah itu bermula 2022. 

“Lelaki itu dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah-dadah tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat polis (IPK) Kelantan di sini, semalam. Beliau memberitahu, suspek turut dipercayai menerima upah sebanyak RM100 untuk setiap penghantaran satu bungkusan berisi 2,000 biji pil kuda. 

Katanya, siasatan mendapati pil kuda sebanyak 5.59 juta biji dan heroin itu dipercayai sudah seminggu berada di rumah tersebut. 

“Kesemua dadah yang dirampas dipercayai disimpan di rumah tersebut sebelum diedarkan untuk pasaran negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

“Berdasarkan siasatan, pil kuda mempunyai permintaan yang tinggi. Dadah yang berada di rumah tersebut juga tidak boleh disimpan lama kerana ia melibatkan kuantiti yang banyak,” ujarnya. 

Kok Chin menambah, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan positif dadah jenis benzo. 

Katanya, selain itu, sebuah pikap jenis Toyota Hilux, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal yang bernilai RM60,000 yang berada di rumah tersebut turut dirampas. 

“Suspek sudah ditahan reman bermula 9 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×