TEL AVIV: Serangan peluru berpandu Iran terhadap Israel menyebabkan kerosakan besar yang dianggarkan bernilai sekitar AS$53 juta (RM227 juta).
Menurut akhbar Yedioth Ahronoth, serangan pada 1 Oktober lalu menyebabkan anggaran kerosakan antara AS$40 juta hingga AS$53 juta (RM171 juta hingga RM227 juta), sebagai merujuk data cukai harta.
“Ini adalah kerosakan terbesar yang disebabkan oleh serangan peluru berpandu tunggal terhadap Israel sejak tercetusnya perang pada 7 Oktober 2023,” katanya.
Menurut akhbar itu, sekitar 10 lokasi mengalami kerosakan dalam serangan Iran, termasuk beberapa pangkalan tentera.
Bagaimanapun, ia mendakwa tiada kecederaan dilaporkan, kecuali kematian seorang warga Palestin berhampiran bandar Jericho, Tebing Barat selepas terkena serpihan daripada peluru berpandu yang dipintas.
Iran menembak sekitar 180 peluru berpandu ke arah Israel, yang dikatakan sebagai tidak balas kepada pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah dan seorang komander Pengawal Revolusi Iran.
Israel berikrar akan bertindak balas terhadap serangan itu.
Ketegangan serantau meningkat berikutan serangan brutal Israel di Gaza, yang kini mengorbankan lebih 42,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Konflik ini merebak ke Lubnan dengan Israel tanpa henti melancarkan serangan maut di seluruh negara, yang mengakibatkan lebih 1,437 orang terbunuh dan 4,123 lagi cedera sejak 23 September lepas.- AGENSI










