Israel kecam UNIFIL, cuba usir pasukan pengaman dari selatan Lubnan

Israel kecam UNIFIL, cuba usir pasukan pengaman dari selatan Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen menuduh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sebagai pasukan ‘tidak berguna’ yang gagal melindungi Israel daripada serangan Hezbollah.

Israel malah menggesa pasukan itu untuk berundur ketika pertempuran dengan kumpulan disokong Iran semakin memuncak.

“Negara Israel akan melakukan segala-galanya untuk memastikan keselamatan rakyatnya, dan jika PBB tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya ia tidak boleh campur tangan dan perlu memindahkan kakitangannya dari zon pertempuran,” katanya di laman X.

Israel dan PBB bertelagah tentang pasukan pengaman di selatan Lubnan ketika tentera rejim memasuki kawasan itu untuk menghapuskan Hezbollah yang disokong Iran dan infrastruktur ketenteraannya.

PBB berkata, kereta kebal Israel menceroboh pangkalannya semalam, dakwaan terbaharu pencabulan terhadap pasukan pengaman yang dikutuk oleh Hezbollah dan sekutu Israel sendiri.

Israel mempertikaikan tuduhan PBB dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggesa pasukan pengaman berundur, mendakwa mereka menyediakan perisai manusia untuk Hezbollah ketika serangan meningkat.

Pasukan pengaman UNIFIL dalam satu kenyataan berkata, dua kereta kebal Merkava Israel memusnahkan pintu utama sebuah pangkalan dan masuk secara paksa sebelum waktu subuh semalam.

Selepas kereta kebal itu beredar, peluru meletup dalam jarak 100 meter, mengeluarkan asap yang bertiup ke seluruh pangkalan dan menyebabkan kakitangan PBB sakit.

Tentera Israel dilaporkan turut membawa wartawan asing ke selatan Lubnan untuk menunjukkan kepada mereka terowong Hezbollah yang jaraknya kurang 200 meter dari kedudukan UNIFIL serta simpanan senjata yang ditemui oleh tentera.

Brigedier Jeneral Yiftach Norkin berkata, terowong itu dibina beberapa tahun lalu.

“Kami sebenarnya berdiri di pangkalan tentera Hezbollah yang sangat dekat dengan PBB,” kata Norkin sambil menunjuk ke pintu perangkap di kawasan yang diliputi semak dan diabaikan oleh pos pemerhatian PBB.

Hezbollah menafikan menggunakan pasukan pengaman untuk perlindungan.

Sejak mengumumkan operasi daratnya berhampiran sempadan, tentera Israel mendakwa telah memusnahkan berpuluh-puluh terowong, pelancar roket dan pos komando Hezbollah.

UNIFIL berkata, serangan Israel sebelum ini ke atas menara pemerhati, kamera, peralatan komunikasi dan pencahayaan telah mengehadkan keupayaan pemantauannya.

Sumber PBB memberitahu, mereka bimbang sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa dalam konflik itu mustahil untuk dipantau.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×