Selamatkan orang muda dari muflis

Selamatkan orang muda dari muflis

LAPORAN Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan 53,000 individu di bawah 30 tahun sudah dibebankan hutang hampir RM1.9 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULISAN ini diharapkan dapat membuka mata anggota masyarakat khususnya golongan muda agar lebih cakna dan hati-hati dalam aspek pengurusan kewangan agar tidak jatuh muflis dalam usia yang terlalu muda.

Hal ini penting kerana kita cukup bimbang apabila Laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan 53,000 individu di bawah 30 tahun sudah dibebani hutang hampir RM1.9 bilion.

Data statistik dikeluarkan Jabatan Insolvensi setakat Mac 2024 pula menunjukkan daripada 206,066 jumlah kes ke­bankrapan yang diuruskan jabatan itu mendapati golongan umur 35 tahun hingga 44 tahun paling ramai bankrap dengan rekod sebanyak 10,489 kes.

Secara umumnya, kebolehcapaian yang semakin meningkat bagi kemudahan pinjaman peribadi, kad kredit dan terutamanya skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ dilihat menjadi antara faktor utama menarik belia menjadi peminjam atau penghutang tegar sehingga akhirnya terbeban serta sukar untuk membayar balik mengikut ansuran dan tempoh yang telah ditetapkan.

Ini bermakna, inisiatif meningkatkan tahap literasi kewangan sangat diperlukan kerana menurut Tinjauan Celik Kewangan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), hanya 36 peratus rakyat menunjukkan pemahaman mengenai konsep kewangan asas, seperti kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko. Angka itu dilaporkan berada di bawah purata global sebanyak 42 peratus dan meletakkan Malaysia di tangga ke-26 daripada 39 negara yang dikaji.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, tahap celik kewangan yang rendah itu membimbangkan memandangkan hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia. Sehingga 2023, hutang isi rumah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadikan ia salah satu nisbah tertinggi di rantau ini.

Hakikatnya, trend semasa menunjukkan golongan muda semakin bergantung kepada kredit untuk membiayai gaya hidup dan pelaburan. Amalan budaya tidak sihat meletakkan kehendak mengatasi keperluan menyebabkan mereka terpengaruh dengan cara hidup biar papa asal bergaya. Ringkasnya, mereka berbelanja demi memenuhi kehendak gaya hidup serba moden dan mewah yang akhirnya menjerat dalam beban hutang yang tinggi.

Kita tidak mahu golongan belia terus terbeban dengan hutang akibat perancangan kewangan tidak baik, justeru perlu diberi perhatian lebih serius terhadap aspek literasi kewangan yang dilihat mampu mengukuhkan daya tahan kewangan seseorang individu dan memperkasa mereka untuk membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan.

Ironinya, inisiatif meningkatkan tahap literasi kewangan merupakan tanggungjawab pelbagai pihak dan ia mencakupi satu proses yang panjang kerana mengubah sikap dan memupuk tabiat pengurusan kewangan berhemat bukan satu tugas mudah. Bahkan ia tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata.

Misalnya, memupuk budaya pengurusan kewangan yang bijak perlu bermula dari rumah dan sejak kecil lagi melibatkan peranan ibu bapa dalam mendidik serta mengajar anak mengenal erti perbelanjaan yang berhemat dalam urusan harian.

Ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab ini jika mahu melihat anak-anak hidup dengan lebih tenang dan bebas bebanan hutang di masa hadapan. Hakikatnya, umpama melentur buluh biar dari rebungnya, didikan di rumah boleh memberi impak positif yang tinggi dan kekal selama-lamanya dalam diri anak terbabit.

Pendidikan seawal peringkat prasekolah boleh turut membantu mendisiplinkan anak-anak dari segi meningkatkan tahap pemahaman dan literasi kewangan. Ilmu pengurusan kewangan yang cekap dan efisien perlu dilihat sebagai ilmu kemahiran hidup yang penting dalam kehidupan anak-anak yang semakin meningkat dewasa. Jadi ilmu ini wajar diajar secara formal atau tidak formal ketika anak-anak berada di bangku sekolah. Ilmu yang sama boleh dikembangkan secara lebih berstruktur apabila mereka menjejak kaki ke institusi pendidikan tinggi.

Usaha lebih serius juga perlu dilakukan oleh pihak majikan demi menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja terutamanya pekerja muda. Harus diingat orang muda yang memasuki alam pekerjaan agak mudah goyah dan terpengaruh apabila mula menerima gaji yang boleh dibelanjakan mengikut kemahuannya.

Maka pada ketika ini, mereka perlu dipupuk dengan amalan pengurusan kewangan yang betul yakni mengutamakan tabungan untuk masa depan, hidup berjimat cermat, jangan boros atau belanja mengikut kehendak selain tidak sama sekali mudah membuat pinjaman atau bergantung hidup dengan kemudahan kredit yang akhirnya akan menjerat diri.

Majikan perlu melaksanakan tanggungjawab moral ini terhadap pekerja demi memastikan mereka tidak terbeban dengan hutang dan masalah muflis kemudian hari yang pastinya akan turut memberi kesan kepada perkhidmatan dan produktiviti organisasi.

Baik majikan swasta mahupun awam perlu sama-sama memainkan peranan proaktif untuk membantu pekerja masing-masing meningkatkan tahap literasi kewangan secara lebih berkesan.

Dalam pada itu, kita juga berharap agar pihak kerajaan meneruskan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan supaya dapat mendidik serta melahirkan anggota masyarakat yang memiliki tingkah laku kewangan yang bertanggungjawab dan sikap yang positif terhadap pengurusan kewangan. Kerajaan juga diharap dapat mengetatkan syarat kelayakan pinjaman peribadi bagi mengekang golongan muda memperoleh pinjaman dengan terlalu mudah.

KAWAL PERBELANJAAN
Pada masa sama, setiap individu juga perlu memikul tanggungjawab untuk melatih diri mengawal nafsu perbelanjaan selain sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan yang cekap dan berhemat. Hal ini penting kerana membabitkan soal tabiat atau sikap amalan seharian yang secara lazimnya hanya boleh diurus dan dikawal oleh diri sendiri.

Seperti kata pepatah ukurlah baju di badan sendiri, hentikan budaya mahu ikut trend terkini sehingga lupa kemampuan kewangan diri. Harus diingat beban hutang yang tinggi akan memberikan pelbagai implikasi negatif terhadap kehidupan seperti mudah tertekan, menjejaskan kesihatan mental, sentiasa berada dalam keadaan takut dan risau serta menjejaskan hubungan kekeluargaan.

Jadi besarlah harapan kita agar semua pihak bersama-sama memikul tanggungjawab untuk membantu menghalang golongan belia dari terjebak dalam beban hutang dan menjadi muflis dengan memupuk budaya dan gaya hidup yang lebih mengutamakan kesejahteraan kewangan. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×