PETALING JAYA: Malaysia memerlukan masa untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) sehingga nilai ambang pendapatan minimum naik kepada RM3,000 hingga RM4,000.
Mengakui GST adalah sistem percukaian yang telus dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.
“Kalau laksanakan GST sekarang, semua kena bayar, yang kaya dan miskin. Saya tidak boleh (terima). Berikan kita masa beberapa tahun lagi.
“Saya faham dan mengkaji sejak sedekad lalu bahawa GST adalah sistem cukai efisien dan memberi kelebihan kepada kerajaan untuk mengutip pendapatan.
“Namun berikan kita masa untuk meningkatkan ekonomi terlebih dahulu dan nilai ambang pendapatan kepada RM3,000 atau RM4,000 minimum,” katanya semasa berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM), semalam.
Ketika ini, gaji minimum di Malaysia adalah RM1,500 sebulan.
Pada 2018, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan menghentikan kutipan GST sebagai memenuhi janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
GST kali pertama dilaksanakan pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus. Ia kemudian digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila digantikan dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018.
Kadar semasa bagi cukai jualan adalah lima peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan ialah enam peratus.
Anwar berkata, pelaksanaan GST menjadi isu berterusan selama beberapa dekad, malah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.
Beliau tidak bersetuju pada masa itu kerana berasakan gejala rasuah yang membabitkan berbilion ringgit, antara lainnya perlu ditangani dahulu.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, dasar tidak mengenakan cukai bagi entiti pendidikan bukan berasaskan keuntungan menyebabkan kerajaan menghapuskan tunggakan cukai dan denda RM83 juta Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Anwar bagaimanapun berkata, kelewatan kelulusan pengecualian cukai kepada UTAR kerana universiti itu masih berada di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman (TAR).
Jelas beliau, Yayasan TAR belum dipisahkan strukturnya antara urusan syarikat perniagaan komersial dan pendidikan.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya meminta Yayasan TAR segera memisahkan struktur operasinya antara urusan syarikat perniagaan komersial dan pendidikan.
“Soal pengecualian cukai bagi UTAR iaitu universiti Cina, jadi apa dasar kita? Semua usaha untuk pendidikan yang bukan berasaskan keuntungan kita kecualikan (cukai).
“Kalau untuk bangunkan fakulti, untuk bagi pelajar miskin belajar, untuk kecualikan (fi) tuisyen, kita kecualikan cukai. Bagi saya tidak ada masalah, cuma kita umumkan kelulusan itu lewat berikutan Yayasan UTAR belum dipecahkan.
“Baru-baru ini, mereka beritahu beri tempoh setahun, mereka akan pecahkan, namun sementara itu mereka minta pengecualian (cukai) bagi semua kelulusan untuk pendidikan anak miskin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia mengamalkan dasar berbaik dengan semua negara dan membenarkan mana-mana kapal untuk berlabuh kecuali Israel.
Anwar berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa kemasukan kapal perang seolah-olah akan melakukan serangan dan mengambil alih negara tidak sepatutnya berlaku.
“Kita mempunyai ‘operasi ketenteraan bersama’ dalam kawasan kita dengan Amerika Syarikat, China, Singapura, Indonesia dan India. Apa masalahnya?”
“Bagi saya tiada masalah, hal ini telah berlaku sejak lama. Malah, jika kerajaan dahulu yang bersama Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kapal terbang Israel pun boleh lalu, masuk pelabuhan tiada isu, sekarang jadi isu.
“Kita ingin menjelaskan bahawa Malaysia mengamalkan dasar baik dengan semua negara. Kapal yang ingin berlabuh di pelabuhan dibenarkan dari semua negara tiada kompromi kecuali untuk Israel. Itu adalah dasar yang kita amalkan sekarang tetapi kini dijadikan isu,” katanya. – UTUSAN










