MEMBELI rumah di pasaran sekunder atau pun subsale ada kalanya lebih murah dari rumah baharu, tetapi mungkin memerlukan sedikit ubah suai atau penambahbaikan.
Rumah lama mungkin memerlukan pendawaian yang baharu bagi menjamin keselamatan penghuni baharunya supaya tidak berlaku kejadian litar pintas dan kejadian tidak diingini.
Minggu ini, Ringgit berkongsi panduan dan apa yang perlu diketahui mengenai pendawaian apabila memasuki dan menduduki rumah lama.
Buat penyelenggaraan dan baik pulih
Rumah yang lama biasanya memerlukan kerja penyelenggaran dan baik pulih pendawaian untuk memastikan keadaannya selamat untuk penghuni.
Pemilik boleh membuat pemeriksaan sama ada kerja pendawaian ini perlu di buat untuk keseluruhan rumah atau pun sebahagian sahaja.
Pemeriksaan pendawaian ini penting kerana mengikut Suruhanjaya Tenaga, semua rumah wajib memeriksa pendawaian elektrik setiap 10 tahun di bawah pindaan kepada Peraturan Elektrik 1994.
Tambah soket baharu
Kelebihan rumah lama adalah ia sudah mempunyai pelan pendawaian.
Jika pendawaian masih baik, anda boleh menambah soket dengan menarik daripada poin sedia ada.
Walau bagaimanapun, soket yang ada mungkin terhad dan penggunaan plug tambahan mungkin menyebabkan penggunaan elektrik yang berlebihan dan mendorong kepada litar pintas.
Kenalpasti kapasiti penggunaan
Sebelum memasang soket, anda harus mengenalpasti soket itu akan digunakan untuk apa dan berapa soket yang diperlukan untuk sesuatu bahagian rumah..
Bagi ini menggelakkan penggunaan elektrik berlebih yang boleh menyebabkan kerosakan atau litar pintas.
Anda juga dinasihatka untuk tidak menggunakan satu poin plug atau litar yang sama untuk peralatan elektrik yang menggunakan voltan tinggi.
Guna kabel yang berkualiti
Penggunaan kabel yang berkualiti penting supaya pendawaian rumah anda akan ahan lebih lama berbanding kabel murah yang mudah reput dan cepat rosak.
Walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang lebih tinggi, ia adalah pelaburan yang berbaloi untuk keselamatan dan ketahanan untuk jangka panjang.
Pastikan guna saiz kabel mengikut standard yang ditetapkan supaya pendawaian elektrik selamat untuk digunakan.-UTUSAN










