‘Pemimpin Muslim tak jalankan hukum Islam, dimakan api'

‘Pemimpin Muslim tak jalankan hukum Islam, dimakan api’

SYEIKH WAN IZZUDIN WAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBICARAKAN tentang siasah dalam Islam, tidak terkecuali berkaitan ciri-ciri pemimpin Muslim yang menjadi tuntutan agama.

Bagi ulama tersohor Kedah, Syeikh Wan Izzuddin Wan Ibrahim yang juga merupakan pewaris Pondok Gajah Mati di Pendang ini, seorang pemimpin Muslim wajib menjadi seorang pendakwah di sebalik semua tanggungjawab hakikinya.

SYEIKH WAN IZZUDIN WAN IBRAHIM
Usia: 80 tahun
Pendidikan:
Pondok Gajah Mati
Darul Uloom Deoband, India
Madrasah Rawalpindi, Pakistan

“Pemimpin kena berdakwah tunjukkan ajaran Islam, kalau tidak buat dia berdosa. Pemimpin yang tidak menjalankan hukum Islam kena makan api yang panas. Dalam al-Quran sudah ditekankan, seorang pemimpin Muslim harus tahu tentang hukum Allah SWT. Itu paling penting dan menggunakan kedudukan serta jawatannya itu untuk berdakwah menegak syariat.

“Sesungguhnya pemimpin yang menjadi teladan kepada semua ialah Rasulullah SAW yang menjadi rahmatan linnas dan rahmatan lil’alamin. Perkara ini jelas disebut dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah,” (al Ahzab 33:21).

“Ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin Islam perlu berpegang kepada syariat Islam kerana mereka terikat dengan hukum Islam dalam setiap tindakan mereka,” kata ulama ini yang turut dikenali sebagai Tok Guru Pak Njang Izzuddin Gajah Mati.

Mengulas lanjut, menurut Syeikh Wan Izzudin yang juga merupakan anak kepada pengasas Pondok Gajah Mati, Tok Guru Syeikh Wan Ibrahim Wan Abdul Kadir atau Pak Chu Him Gajah Mati yang tersohor suatu ketika dahulu itu, pangkat dan harta adalah ujian terbesar dalam kehidupan sekali gus menjadi kekangan kepada sesetengah pemimpin bergelar pemimpin Islam sejati.

Al-Quran dan as-Sunnah menjadi rujukan utama selain ijmak dan qias kerana penurunan syariat Islam adalah demi menjaga kepentingan manusia. Semua pejuang Islam kita kena berpegang dengan prinsip asas ini.

“Perkara ini jelas dalam firman Allah SWT, “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al Hajj 22:41).

“Perintah ini juga terkandung dalam Surah al Asr itu yang jelas yang mana Allah SWT berfirman, “ Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah dengan kebenaran dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran,” katanya yang masih aktif mengajar kuliah agama di Surau Pak Chu Him, Gajah Mati itu.

Syeikh Wan Izzudin turut mengingatkan bahawa sebagai rakyat, wajib bagi mereka untuk taat setiap dan mendukung pemimpin Islam yang berusaha menegakkan syariat Islam.

Siapa yang mati dalam keadaan tiada padanya suatu baiah (ikrar janji taat kepada pemimpin Islam) maka matinya seumpama dalam keadaan jahiliah,” Hadis Riwayat Muslim.

“Kena sokong pemimpin ini. Ia jelas kalau kita baca ayat Wal Asr (Surah al Asr), kita kena pertahankan kebenaran,” kata yang pernah berguru dengan berpuluh alim ulama dari seluruh dunia ketika zaman mudanya termasuk Maulana Ghulamullah Khan, Syeikh Toha al Yamani dan Maulana Abdul Ahad Deobandi.

Ulama ini turut menasihatkan agar umat Islam tidak mengetepikan ajaran al-Quran dan menjadikan ia sebagai benteng kehidupan yang semakin mencabar ketika ini.

“Utamakanlah al-Quran dan tafsirnya itu penting di samping kita mempelajari ilmu tauhid dan fiqah. Kalau kita menjauh daripada perkara ini zahir dan batin kita menjadi lemah,” katanya yang masih kuat daya ingatan walaupun pada usia lapan dekad itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×