Remaja murung ibu bapa sering bertengkar

Remaja murung ibu bapa sering bertengkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GANGGUAN mental pada kanak-kanak atau remaja sering terjadi apabila mereka terdedah kepada konflik yang berterusan dalam keluarga. 

Ini terutama mereka menjadi mangsa keadaan atau dilibatkan secara langsung oleh ibu bapa. 

Minggu ini saya kongsikan tentang seorang remaja yang mengalami gangguan mental akibat ibu bapa yang sering bergaduh.

Mimi, (bukan nama sebenar) yang berusia 13 tahun mula menunjuk tanda-tanda kemurungan dan keresahan yang semakin ketara.

Ini apabila ibu bapanya sering bertengkar di rumah, malah kadang-kadang di hadapan Mimi sendiri. 

Kisah Mimi dikongsikan salah seorang kenalan ibunya, Ipah (bukan nama sebenar), kepada saya baru-baru ini.

Ipah yang saya temui mengakui Mimi masih menjalani rawatan psikologi di salah sebuah hospital. 

Katanya, Mimi merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Kakak sulungnya, Shira, (bukan nama sebenar) ketika itu berusia 17 tahun, manakala adik bongsu lelakinya, Amirul (bukan nama sebenar) 10 tahun. 

Cerita Ipah, kedua ibu bapa Mimi, pada luarannya kelihatan seperti keluarga normal yang lain, namun di sebaliknya, mereka sahaja yang tahu. 

Setiap hari, sejak usia lima tahun Mimi mendengar suara tinggi ibu dan bapanya yang sering bergaduh, terutama mengenai soal kewangan. 

Bapa Mimi, Salleh (bukan nama sebenar) seorang yang kedekut dan terlalu berkira dalam segala hal terutama kepada isteri dan anak-anak. 

Untuk membeli barangan dapur sekalipun, bapanya akan memarahi ibunya kerana dianggap membazir. 

Mimi sering mendengar setiap kali, ibunya meminta wang untuk membeli barangan dapur atau keperluan rumah, bapanya akan marah-marah. 

Bapa Mimi akan mengungkit, seolah-olah setiap sen yang dibelanjakan untuk keluarga adalah satu beban besar. 

Setiap kali kedua ibu bapa bertengkar, Mimi rasa tertekan kerana dia tidak tahu bagaimana mengatasi masalah tersebut. 

Ibunya, Mariati, (bukan nama sebenar) yang sering makan hati, hanya mampu bersabar. 

Namun sabar itu ada hadnya. Sesekali mereka adik beradik akan mendengar ibu dan bapa bertikam lidah. 

Hari-hari yang sepatutnya tenang, menjadi sesi panjang di mana ibu akan bercerita tentang bagaimana dia diperlakukan dengan tidak adil oleh bapa, betapa peritnya hidup ibu dan meluahkan perasaan kecewa dan kemarahan kepada bapa Mimi. 

Pada mulanya, Mimi cuba menjadi pendengar kepada ibunya. 

Namun, beban emosi yang dicurahkan ibunya terlalu berat untuk dia tanggung. 

Dia mula merasa terperangkap dalam masalah orang dewasa yang dia sendiri tidak mampu memahami sepenuhnya. 

Setiap kali ibunya bercerita dan meluahkan, Mimi berasa bertanggungjawab untuk membantu, walaupun dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya.

Keadaan itu secara tidak langsung mempengaruhi kehidupan mereka, terutama Mimi. 

Di sekolah Mimi cuba menyembunyikan kesedihan. 

Dia sering berasa tertekan, murung dan tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.

Hari, bertukar minggu, minggu beralih bulan dan seterusnya memakan tahun. 

Mimi mula kehilangan minat dan tidak fokus untuk belajar. 

Dia sering kemurungan dan tidak bertenaga seperti rakan-rakan sebaya.

Ibunya tidak menyedari bahawa tindakan berkongsi masalah rumah tangga dengan Mimi telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada anaknya.

Akhirnya, keadaan Mimi semakin tidak dapat dikawal.

Paling mengejutkan, Mimi pernah berasa ingin ‘bunuh diri’ kerana sudah tidak tertanggung lagi .

Perubahan Mimi hanya dapat disedari, Aripah (bukan nama sebenar) guru tingkatannya. 

Menurut Aripah, keadaan Mimi semakin teruk sehingga memaksa pihak sekolah memanggil kedua ibu bapanya. 

Ketika di hadapan guru kaunseling, masing-masing menunjukkan kekesalan. 

Namun sampai di rumah, lain pula ceritanya. 

Bapa Mimi, terus-terusan memarahi dan menyalahkan ibunya. 

Menyedari kesilapan, ibu Mimi berazam untuk membawanya berjumpa pakar psikologi seperti disarankan guru kaunseling.

Setelah mendapat bantuan pakar, barulah ibunya menyedari bahawa anaknya mengalami gangguan mental akibat tekanan berterusan yang disebabkan konflik rumahtangga mereka.

Menurut guru Aripah, ibu Mimi mula menyedari kesilapannya.

Ibu Mimi tidak pernah berfikir dengan meluahkan perasaan sebagai mencari sokongan emosi, tetapi lama kelamaan memberi gangguan kepada anak-anaknya.

Walaupun perubahan tidak berlaku secara tiba-tiba, ibu Mimi berazam untuk menjadi lebih baik demi kesejahteraan anak-anak.

Sebagai ibu, adalah penting untuk melindungi anak-anak daripada konflik dalamam orang dewasa dan tidak melibatkan mereka dalam masalah yang terlalu berat untuk difahami dan dihadapi oleh anak-anak.

Ketika saya tanyakan mengenai status hubungan kedua ibu bapa Mimi, kata Aripah sehingga ke hari ini pasangan itu masih bersama.

“Ibu Mimi tetap berharap suaminya akan sedar dan lebih menghargai keluarga, tetapi saya tidak melihat harapan itu berpihak kepadanya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Kisah ini memberi pengajaran yang mendalam tentang bagaimana konflik rumah tangga, dan cara ibu bapa menangani masalah mereka boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mental anak-anak.

Dalam hidup berumah tangga, pertengkaran atau perbezaan pendapat sering terjadi.

Namun ada perkara penting yang perlu dingatkan iaitu ibu bapa perlu menahan kemarahan atau perkelahian di depan anak-anak.

Ini kerana anak-anak memiliki daya ingatan yang kuat sehingga boleh menganggu pembesaran dan aktiviti sosial mereka.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Allah tidak menyukai ucapan buruk (caci maki) yang diucapkan dengan terus terang kecuali oleh orang-orang yang dianiaya. (AnNisa:148)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×