VIENTIANE: Pemimpin Asia Tenggara mendesak junta Myanmar dan penentangnya mengambil tindakan konkrit untuk menghentikan pertumpahan darah dalam perang saudara di negara itu.
Pemimpin ASEAN juga mendesak pihak junta berusaha untuk memulakan usaha diplomatik yang goyah bagi menyelesaikan krisis.
Pemimpin 10 negara anggota ASEAN berusaha mencari penyelesaian rundingan bagi krisis Myanmar, yang mengorbankan ribuan orang dan memaksa jutaan penduduk meninggalkan rumah mereka sejak tentera merampas kuasa pada Februari 2021.
Krisis itu menguasai perbincangan hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane, dengan konflik Laut China Selatan yang menjadi pertikaian juga menjadi agenda utama.
Buat pertama kali, pemimpin ASEAN mengadakan rundingan bersemuka pertama dengan wakil junta kanan Myanmar dalam tempoh lebih tiga tahun lalu.
Junta tentera mengalami kekalahan teruk di medan perang sepanjang tahun lalu, semasa serangan semula oleh kumpulan bersenjata etnik minoriti dan Pasukan Pertahanan Rakyat pro-demokrasi yang bangkit menentang rampasan kuasa.
Pemimpin ASEAN mengutuk serangan terhadap orang awam dan menggesa semua pihak yang terlibat mengambil tindakan konkrit untuk menghentikan segera keganasan tanpa pilih bulu, menurut draf kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak yang dilihat oleh AFP.
Sebelum ini, junta Myanmar bersetuju dengan rancangan ‘konsensus lima perkara’ dengan ASEAN untuk memulihkan keamanan beberapa minggu selepas pihaknya menggulingkan Kerajaan Aung San Suu Kyi.
Namun, sebaliknya berlaku apabila junta meneruskan tindakan keras terhadap penentang pemerintahannya.
Selepas mengecam Myanmar kerana mengabaikan rancangan lima perkara pada Sidang Kemuncak 2022 dan 2023, para pemimpin sekali lagi menegaskan, ia masih menjadi ‘rujukan utama’ untuk menangani krisis itu, menurut draf kenyataan pengerusi itu.
“Bagaimana untuk menguatkuasakannya masih tidak jelas. Kami cuba mencari jalan untuk bergerak ke hadapan kerana kami perlu mengakui walaupun lima perkara telah ada, kami tidak begitu berjaya mengubah keadaan,” kata Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura mengesahkan tiada perbincangan pada Sidang Kemuncak itu mengenai cara melaksanakan rancangan damai itu.
Myanmar menghantar Pegawai Kanan Kementerian Luar ke Sidang Kemuncak itu selepas tiga tahun mengelakkan diri menghadiri mesyuarat berkenaan. -AGENSI











